BEBOLA ubi kayu merupakan hidangan sarapan atau minum petang nenek moyang kita dahulu.
Zaman dulu ubi kayu mudah ditemui, setiap rumah pasti ada menanam ubi. Kalau tidak ditanam pun, pokok ubi kayu mudah sahaja tumbuh di mana-mana. Ubi kayu juga menjadi makanan pilihan ketika musim tengkujuh.
Sebab itulah, banyak masakan berasaskan ubi kayu dicipta oleh orang tua-tua dahulu, daripada manisan hingglah ke lauk pauk.
Seri kongsikan resipi Bebola Ubi Kayu Traffic Light atau lampu isyarat, hasil sentuhan Prof. Datuk Cef Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Cef Zam.
RESIPI BEBOLA UBI KAYU TRAFFIC LIGHT
Bahan A
2 batang ubi kayu (disagat)
8 sudu gula
Sedikit garam
Satu paket serbuk agar-agar
Sedikit pewarna (pilihan)
Bahan lain
Kelapa parut (untuk salutan)
Lidi
Cara penyediaan
1. Satukan kesemua bahan A dan gaul rata.
2. Bahagikan kepada tiga warna. Gaul dan kepalkan adunan menjadi bebola sebesar bola ping-pong.
3. Kukus selama 20 atau 25 minit hingga masak.
4. Ketika masih panas, golekkan di atas kelapa parut yang telah ditambah sedikit garam.
5. Cucukkan bebola mengikut susunan warna dengan lidi.
6. Sedia untuk dihidangkan.