Resipi Seri kali ini mengimbau nostalgia ketika kecil. Pada masa itu, antara hidangan yang popular terutama di utara tanah air ialah pulut kelapa rendang kerang.
Menu tradisi ini menjadi pilihan ramai termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak untuk sarapan pagi. Bagaimanapun, seiring perubahan zaman, ia makin sukar ditemui di mana-mana kini.
Bagi yang belum pernah mencuba, jom ubah selera dengan menghasilkan pulut kelapa rendang kerang untuk sajian seisi keluarga.
Rendang kerang
Bahan-bahan:
2 kilogram kerang (rebus sekejap dan ambil isinya)
1 biji kelapa (dikisar dengan 2 1/2 cawan air, perah dan ambil santan)
5 helai daun limau purut
3 paket kecil kerisik (kalau dibuat sendiri guna tiga ke empat sudu besar)
2 helai daun kunyit (hiris)
1 1/2 keping asam keping
2 sudu besar gula pasir
1/2 sudu besar garam
1 sudu teh perasa
2 senduk minyak masak
Bahan kisar:
15 hingga 18 tangkai cili kering (tambahkan jika mahu pedas)
2 biji bawang besar
5 hingga 6 ulas bawang putih
Halia
Lengkuas
6 batang serai
Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar.
2. Masukkan asam keping dan gula, tumis hingga naik minyak.
3. Masukkan kerisik, daun limau purut dan santan.
4. Apabila kuah mulai pekat (sentiasa kacau, jangan sampai pecah santan), masukkan kerang.
5. Letak garam dan peras, di samping tabur daun kunyit jika kuah sudah pekat.
6. Tutup api dan sedia untuk dihidang bersama pulut.