Perluaskan definisi bantuan - Utusan Malaysia

Perluaskan definisi bantuan

Dalam situasi kritikal dengan kos sara hidup yang tinggi seperti hari ini, isu ini harus diperhalusi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2023 bagaikan hilang serinya. Negara masih meratapi tragedi Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa membabitkan 18 dewasa dan 13 kanak-kanak.

Insiden ini seharusnya membuka mata kita semua betapa rapuhnya nyawa manusia dan setiap pihak baik individu mahukan pihak kerajaan mengambil pengajaran daripadanya.

Isu yang tidak kurang hangat diperkatakan ialah mengenai kos sara hidup hari ini yang nyata membebankan pengguna. Tak usah cakap B40, tetapi setiap lapisan masyarakat, M40 dan T20 pun saya kira kena tempias peritnya.

Kata pepatah besar periuk, besarlah keraknya. Komitmen individu tidak sama.

Tidak perlu kita persoalkan ke mana mereka belanjakan sebab ia sangat subjektif. Kalau nak kata orang T20 berbelanja besar, tidak adil juga sebab segelintir daripada mereka lebih bijak mengurus kewangan.

Anak seorang dengan anak lima orang di bandar seperti Kuala Lumpur tidak sama.

Seorang wanita yang saya kenali Rohani, pernah mengadu kepada saya, walaupun dirinya dalam kategori M40, tetapi anaknya enam orang.

“Banyak kemudahan yang saya terlepas hanya kerana lingkungan gaji sedemikian. Yuran pun tak sama. Seharusnya yang dikira adalah pendapatan per kapita, bukannya gaji kasar,” luahnya dalam raut wajah muram.

Banyak lagi sebenarnya mahu diluahkan kepada saya. Tetapi disebabkan kesuntukan masa, perbualan kami terhenti di situ.

Masalah dilalui Rohani itu bukan isu terpencil.Ramai berdepan isu yang seolah-olah tiada jalan penghujung.

Ada segelintir masuk ke kategori B40 hanya kerana isterinya tidak bekerja. Sedangkan perolehan daripada kerja sambilan, ‘boleh tahan’ angkanya.

Hanya kerana status berkerja sendiri dan tidak memiliki penyata gaji, tidak bermakna mereka dalam kategori yang layak menerima bantuan.

Dalam situasi kritikal dengan kos sara hidup yang tinggi seperti hari ini, isu ini harus diperhalusi.

Kajian dan semakan perlu dilakukan semula supaya sebarang bentuk bantuan sampai ke pihak yang selayak menerimanya.

Ia juga mengajar kita untuk bertanggungjawab terhadap ekonomi keluarga sendiri. Tidaklah nanti timbul isu sekelompok masyarakat yang hanya berharapkan bantuan kerajaan sedangkan sekelompok lagi hanya berputih mata?

Perluaskan definisi bantuan. Contohnya menyediakan kelas kemahiran dan pemasaran. Bukannya dalam bentuk tunai semata-mata.

Keadilan dan ketelusan untuk setiap keluarga perlu ada supaya peruntukan mencapai matlamat dalam melahirkan masyarakat bijak.

Begitupun, sementara menantikan kerajaan melakukan penambahbaikan, wanita khususnya semak kembali belanja keluarga. Bezakan antara mana satu keperluan dan mana satu keinginan.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya