MASIH jelas di ingatan Norfasarie Mohamed Yahya ketika menjalani imbasan pranatal enam bulan waktu sedang mengandungkan anak keduanya, Moza Alyka Baihakki, 11 tahun lalu.
“Juruteknik itu memalingkan monitor kepada saya dan berkata, dia dapat melihat jantung, buah pinggang, dua mata, hidung dan dua kakinya.
“Semuanya nampak sempurna. Dia menunjukkan tangan kiri dan lima jari bayi saya. Tetapi dia tidak dapat melihat lengan kanan dan jari anak saya,” katanya.
Usahawan, pelakon dan penyanyi dari Kota Singa yang pernah membintangi program Mediacorp Suria dan pernah mengeluarkan album serta single itu, kemudian diberitahu oleh pakar sakit puan bahawa bayinya mengalami keadaan dikenali sebagai sindrom amniotic band, yang menghalang pertumbuhan tangan kanannya.
Luluh hati si ibu apabila mendapat tahu bayinya kehilangan sebahagian daripada lengan kanannya.
Tetapi Norfasarie dan suaminya, yang juga bekas pemain bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan, berazam untuk membesarkan Moza Alyka seperti kanak-kanak lain.
Kekuatan bayi perempuannya yang tidak dijangka, bagaimanapun, memberi Norfasarie keazaman yang dia perlukan.
“Banyak perkara yang dia tidak boleh lakukan, seperti merangkak. Walaupun ketika dia belajar berjalan, setiap kali dia jatuh, dia akan mengalami benjolan di kepalanya.
“Dia mahu belajar berenang, balet, piano, biola dan gitar, jadi kami biarkan dia mencuba semuanya. Hari ini, dia berenang dan bermain piano dengan sangat baik menggunakan tangan kirinya untuk memainkan melodi dan sebahagian lengan kanan untuk memainkan kord. Dia seorang gadis yang sangat yakin,” kata Norfasarie kepada Channel News Asia.
DIDIK MOZA JADI USAHAWAN CILIK
Pada usia hanya 11 tahun, Norfasarie memutuskan untuk mengajar Moza cara-cara menjalankan perniagaan dan dua beranak cekal itu bersama-sama melancarkan jenama aksesori, Myla Moza.
“Dia mendapat idea menjual getah rambut atau scrunchies dan sikat rambut kerana dia mengenali seorang gadis Amerika Syarikat (AS) di TikTok yang memulakan perniagaan kecil menjual scrunchies dan kini mampu membeli rumah kepada ibu bapanya.
“Kata Moza dia juga ingin membelikan saya rumah yang lebih besar. Walaupun saya selalu memberitahunya untuk tidak menghabiskan banyak masa di TikTok, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang baik daripadanya,” katanya sambil tertawa.
Moza turut bijak menyusun ideanya dan membentangkannya kepada ibu bapanya, termasuk unjurannya tentang jumlah perolehan yang bakal dicapai oleh perniagaan itu dan pelaburan awal yang diperlukan.
“Dia memberitahu saya dia memilih scrunchies dan sikat rambut atau detangler brush kerana barangan itu tidak mempunyai jangka hayat. Ia agak mengagumkan, seperti Shark Tank,” katanya, merujuk kepada rancangan realiti AS di mana usahawan yang bercita-cita tinggi melontarkan idea mereka kepada pelabur.
Norfasarie pada mulanya melabur 5,000 dolar Singapura (RM16,402) ke dalam Myla Moza untuk mencipta penjenamaan dan mereka bentuk tanda dagangan logo secara profesional selain mendapatkan produk dan pembungkusan.
“Kami bermula dengan modal yang sangat kecil, menawarkan hanya satu kotak mengandungi lima scrunchies dengan detangler brush, berharga 68 dolar Singapura (RM223). Moza membungkusnya sendiri di rumah dan juga menulis petikan inspirasi yang berbeza untuk setiap kotak, yang dia peroleh daripada internet atau buku-buku bacaannya,” kata Norfasarie.
Moza menjual aksesori rambut itu semasa musim perayaan Aidilfitri pada bulan Mei tahun lalu di laman Instagram dan TikTok melalui akaun @mylamoza termasuk kepada rakan dan saudara mara yang berkunjung ke rumah sepanjang tempoh perayaan.
“Dia menjual 50 kotak kesemuanya. Saya agak terkejut kerana anak saya yang berumur 11 tahun memperoleh keuntungan lebih 3,000 dolar Singapura (RM9,836). Mungkin kerana Moza berkebolehan unik dan dia seorang jurujual yang sangat baik. Anda boleh tahu daripada cara dia bercakap dengan orang ramai.
“Pada Ogos lalu, saya memberitahu Moza saya mempunyai ruang dalam perniagaan Moza Aesthetics saya yang boleh ditukar untuk mengembangkan Myla Moza. Saya bertanya kepadanya sama ada dia mahu mengambil ruang itu, dan dia bersetuju,” kata Norfasarie.
Bersama-sama dengan hasil jualan kotak scrunchie, Norfasarie menambah 10,000 dolar Singapura (RM32,784) lagi untuk mengubah suai kawasan kecil dalam salun kecantikan miliknya dan melancarkan Myla Moza secara rasmi pada 1 Oktober lalu.
Mereka memutuskan untuk mengembangkan tawaran produk lain termasuk rantai, gelang, kerongsang, anting-anting, cincin, aksesori rambut dan beg tangan.
MENYERLAHKAN KEUNIKAN DIRI
Kini dua beranak itu bekerjasama untuk membangunkan Myla Moza, dengan Moza bekerja rapat dalam mendapatkan sumber dan sumbang saran untuk idea baharu.
“Oleh kerana Moza masih muda dan penuh bersemangat, dia tahu apa yang rakannya atau remaja lain mahu serta apa yang menjadi trend terkini.
“Saya membimbingnya untuk melakukan penyelidikan pasaran dan menyemak jenama pesaing yang sudah ada dan membantu dengan penetapan harga.
“Saya turut memastikan dia menyesuaikan diri dengan pelajarannya dan hanya bekerja dengan Myla Moza selepas menyelesaikan kerja rumahnya kerana bakal menghadapi peperiksaan besar tahun depan,” kata Norfasarie.
Selain mengajar ilmu keusahawanan, Norfasarie turut memperkasakan Moza untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan mendermakan 20 peratus daripada hasil perniagaan mereka dari hari pertama pelancaran Myla Moza kepada badan amal pilihannya.
Moza memilih Enabling Village, ruang komuniti bersepadu yang mempromosikan masyarakat yang lebih inklusif untuk golongan kurang upaya seperti beliau.
“Nasihat saya untuk orang kurang upaya yang lain, jangan biarkan orang memandang rendah diri kita. Ketahuilah bahawa anda unik dan ada cara istimewa untuk melakukan sesuatu,” kata Moza.
Moza dan Norfasarie berjaya mengatasi pelbagai kemungkinan besar untuk sampai ke tahap yang diinginkan, tetapi kejayaan itu disulam perjalanan emosi yang mencabar untuk mereka berdua.
“Saya masih ingat ketika Moza berusia enam tahun dan pergi ke kelas percubaan trek dan padang. Apabila dia memperkenalkan dirinya, salah seorang gadis bertanya apa dah terjadi dengan tangannya dan gadis itu menyebut dia takut menyentuh tangan Moza menyebabkan Moza menangis tidak henti di stadium hari itu.
“Walaupun kini dia sudah biasa ditenung dan orang meminta untuk menyentuh lengannya yang kudung, ada kalanya hatinya masih cepat tersentuh. Baru-baru ini semasa Halloween, sesetengah orang dewasa menyangka tangannya yang kudung itu adalah kostum Halloween dan bertanya kepadanya bagaimana dia melakukannya.
“Walaupun dia berumur 11 tahun dan lebih kuat hari ini, dia masih mengalami hari-hari buruk di mana dia berkata, ‘Mummy, kenapa saya tidak mempunyai tangan?’. Tetapi saya terus mengingatkan dia untuk kuat dan Tuhan menciptakan dia istimewa sebegitu untuk alasan tertentu,” kata Norfasarie. – AGENSI