“Saya paling ingat masa ikut Encik Hijjas pergi melawat tapak pembinaan di Kuantan. Masa tu belum ada lebuh raya. Jalan teruk, naik bukit, turun bukit. Berjam-jam duduk dalam kereta,” kata Serina Hijjas kepada Seri membuka bicara.
Serina,58, berkongsi mengenai pendedahan awalnya dalam bidang senibina sehingga muncul sebagai arkitek wanita tersohor di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa.
Pewaris dan Pengarah firma arkitek terkemuka tempatan, Hijjas Kasturi Associate yang diasaskan oleh bapanya, Hijjas Kasturi sejak 1977 ini menghasilkan banyak binaan menakjubkan.
Antara sentuhan pertamanya ialah Menara Telekom Malaysia setinggi 55 tingkat di Bangsar. Ia diusahakan bersama bapanya dan seorang lagi arkitek. Bangunan lain adalah Menara Shell, Celcom, Sasana Kijang, Putrajaya Convention Centre dan Universiti Heriot-Watt di Putrajaya.
“Dulu lepas habis kelas tuisyen, saya juga selalu kena tunggu bapa habis kerja di pejabatnya di Bangunan Datuk Zainal. Kami akan pulang ke rumah bersama-sama. Memang lama betul kalau kena tunggu beliau habis kerja. Kadang-kadang sampai malam,” katanya lagi mengimbau kenangan.
Lantaran sering menghabiskan masa di pejabat bapanya itu, timbul minatnya dengan kerjaya sebagai arkitek. Malah sejak berusia 16 tahun, Serina sudah mula mengasah bakat senibina apabila bekerja secara sambilan di firma bapanya bagi mencari duit poket.
Wanita kacukan Melayu dan Australia ini turut meminati seni dan sains. Oleh kerana seni bina adalah gabungan kedua-duanya, ia menguatkan lagi ‘jodohnya’ dengan bidang itu.
“Saya satu-satunya anak dalam keluarga mengikut jejak bapa. Ibu cenderung kepada tanam-tanaman. Malah dia ada koleksi peribadi tumbuhan dan pokok asli Tropika Asia Tenggara terbesar yang ditanam di Rimbun Dahan berusia lebih 30 tahun.
“Minat saya dan bapa mungkin nampak berbeza dengan ibu tetapi ia saling melengkapi antara satu sama lain. Kami bina bangunan, ibu pula dengan tanam-tanaman untuk menghijaukan alam. Bila berbual, memang ada kena-mengena juga isu berkaitan menghijaukan bangunan dengan tumbuh-tumbuhan,” katanya.
‘Cukup saya jadi arkitek’
Serina tidak menggalakkan anak lelaki dan perempuannya mengikuti jejak langkah beliau dan datuk mereka untuk bergelar arkitek. Kebetulan kedua-dua anaknya itu tidak berminat dengan bidang senibina. Malah Serina sendiri tidak pernah berbincang mengenai seni bina sejak mereka kecil.
“Mereka sudah bekerja dalam bidang masing-masing dan tidak ada yang menjadi arkitek seperti saya. Cukuplah saya saja sebagai generasi kedua dalam bidang ini. Saya tak mahu mereka ikut arah yang sama. Saya rasa mereka pun tak minat dan kena ada fokus lain selain bidang seni bina sebab ia bukan mudah.
“Kerjaya sebagai arkitek mungkin nampak hebat di mata orang ramai tetapi ramai yang mungkin tidak tahu, belajar dan bekerja dalam bidang ini bukannya semudah disangka. Sebelum seseorang itu bergelar arkitek, mereka perlu belajar selama enam tahun lamanya iaitu sama lama dan sukar dengan belajar bidang perubatan,” katanya.
Katanya ketika belajar di London dulu, pelajar seni bina masih sibuk melukis sehingga jam satu pagi. Pada masa yang sama, pelajar perubatan sedang ‘melepak’ sambil makan-makan di luar kampus. Begitu juga apabila sudah memasuki alam pekerjaan yang menuntut mereka bekerja sehingga larut malam.
Serina yang pernah bekerja dengan firma arkitek Sir Norman Foster di England selama tiga tahun, berkata, mereka bekerja siang malam. Dalam setahun, beliau bekerja selama 38 minggu daripada 52 minggu.
Tambahnya, tanggungjawab seorang arkitek juga sangat besar, bukan sekadar membina bangunan. Mereka perlu bertanggung jawab ke atas setiap bangunan yang direka selagi bangunan itu masih ‘berdiri’. Mereka perlu memikirkan setiap sudut bangunan dihasilkan.
Justeru, sokongan keluarga dan pasangan juga penting jika ingin menceburi bidang arkitek.
Hijau, jimat tenaga
Bergelar Bapa Seni bina bangunan Malaysia, Hijjas Kasturi terkenal dengan bangunan yang ikonik dan menekankan identiti seperti Tabung Haji, bangunan Amoda, Menara Maybank dan Menara Alor Setar.
Konsep rekaan ikonik yang menjadi keutamaan Hijjas Kasturi masih diteruskan Serina tetapi dengan caranya yang tersendiri dan tidak terlalu menonjol berbanding rekaan-rekaan yang pernah dihasilkan bapanya itu.
“Bapa selalu bercakap mengenai identiti Malaysia. Rekaan saya masih meneruskan konsep ikonik tapi tak bermakna perlu jadi besar. Sebagai contoh, bangunan Sasana Kijang yang diberikan sentuhan songket Malaysia pada pasadnya.
“Mungkin ramai tak tahu, ada elemen songket juga pada landskap Boulevard di Putrajaya sejauh tiga kilometer hasil rekaan kami. Selain itu, lampu-lampu di situ juga ada elemen Malaysia. Elemen Malaysia mesti ada. Sebagai contoh, masa ekspo di Dubai, Pavilion Malaysia dibuat seakan rumah Melayu lama tapi guna besi dan kayu daripada Malaysia untuk bangunan itu,” katanya.
Berbekalkan pengalaman bekerja dengan firma ternama di England, Serina turut menekankan kehijauan dan kelestarian tenaga bagi setiap senibina bangunan dihasilkan.
Bangunan Telekom Malaysia adalah bangunan hijau pertama yang direka Serina menerusi teknik penyejukan bangunan dari bawah lantai berbanding dari siling. Ia juga adalah bangunan pertama berjaya mengurangkan tenaga sehingga 45 peratus.
“Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Sasana Kijang juga menggunakan teknik penyejukan bangunan dari bawah dan udara panas dikeluarkan dari atas bumbung. Kaedah ini lebih berkesan kerana dalam sains, udara panas naik ke atas,” katanya yang kini sedang menyiapkan hotel 10 tingkat di Pantai Tengah, Langkawi, juga berkonsepkan bangunan hijau, kilang farmaseutikal selain bangunan Filem Nasional (FINAS) di Sungai Buloh.
Kerja sukarela
Sibuk dengan projek pembinaan, Serina masih memperuntukkan masa menyumbang tenaga dalam kerja sukarelawan bagi kelestarian alam semulajadi.
Mencontohi ibunya, Angela Hijjas yang menjalankan kerja sukarela menghijaukan bumi dengan menanam pokok, Serina menyumbang tenaga memastikan setiap bangunan di negara ini dibina dengan ciri bangunan hijau serta menjimatkan tenaga.
“Sejak 10 tahun lalu, saya memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Majlis Bangunan Hijau Malaysia bagi mempromosikan kehijauan semulajadi dalam bangunan serta penjimatan tenaga. Secara asasnya ia menggalakkan kehijauan, kurang pembaziran dan tanpa penggunaan tenaga.
“Selain itu, saya memegang jawatan sebagai Pengerusi Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang membangunkan kaedah untuk menghijaukan bangunan. GBI menekankan bangunan perlu diperiksa semula selepas tiga tahun. Ini termasuk penyelenggaran bangunan disebabkan kesan cuaca dan matahari,” katanya.
Rumah awam lebih selesa
Pengalaman melihat datuknya, Kasturi Idris yang tinggal dan meninggal dunia di rumah pangsa di Jalan Pekeliling yang sempit, Serina berpendapat rumah awam di negara ini kurang selesa terutama dari segi pengudaraan.
Sekira diberi peluang membina rumah awam, Serina mahu rumah berkenaan di bina dengan senibina selesa, tidak terlalu tinggi dengan sistem pengudaraan lebih baik.
“Datuk saya tinggal di situ sebab rumah dekat dengan surau. Bagi saya, rumah awam tidak sepatutnya melebihi 25 hingga 30 tingkat. Ia perlu dibina dengan ketinggian sederhana antara 12 sehingga 15 tingkat saja. Kualiti termal (suhu) dalam rumah sangat rendah menyebabkan rumah panas bila berada di dalamnya.
“Patutnya ada ruang redup untuk penghuni bersantai. Kalau boleh bina rumah kos rendah yang selesa diduduki walaupun tanpa guna pendingin hawa. Pastikan udara semulajadi beredar dalam rumah, kawasan lapang ada tanaman hijau. Galakkan penghuni untuk jaga kawasan ini sebagai ‘kampung’ mereka sendiri,” katanya.
Bersenam 365 hari
Berpenampilan ringkas ketika ditemui, Serina tetap kelihatan menawan dengan rambut lurus pendek paras bawah telinga dengan solekan tipis. Bibirnya dioles dengan gincu kemerahan.
Wanita ini mengakui gemar melakukan senaman yoga bagi mengekalkan kecergasannya. Jadi, tidak hairanlah tubuhnya kekal langsing.
“Saya perlu memastikan sentiasa bertenaga untuk tempoh bekerja yang lama. Saya fikir mahu mencabar diri dengan bersenam sebanyak 365 hari atau setiap hari. Kalau tidak mungkin saya tidak bersenam langsung,” katanya sambil tersenyum manis.
Kata Serina lagi, sudah sampai masanya dia meluangkan waktu untuk melihat keindahan dunia. Dia ingin mengembara dan melihat beberapa negara seperti Jepun, Sepanyol dan sebahagian negara Kanada. – UTUSAN