Wanita, banjir dan azam baharu - Utusan Malaysia

Wanita, banjir dan azam baharu

Banjir bukanlah sesuatu yang sepatutnya menjadi kelaziman. Kita tidak seharusnya menerima takdir dengan hanya berpeluk tubuh. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banjir dan hujung tahun bagaikan isi dengan kuku. Setiap kali bah melanda, wanita, warga emas dan kanak-kanaklah yang paling azab.

Fizikal mereka sensitif dan memerlukan penjagaan rapi menjadikan banjir bagaikan suatu seksaan.

Yang ‘bercuti’ usah ceritalah azabnya. Lain kisahnya bagi warga emas yang perlu dipapah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan pesakit kritikal yang memerlukan bekalan ubat.
Itu belum lagi yang berpantang di PPS dalam ‘kebanjiran’ mangsa banjir yang lain.

Sehingga artikel ini ditulis, seramai 70,000 mangsa dilaporkan terkandas di Pahang, Kelantan dan Terengganu selepas Pantai Timur ‘tewas’ dek banjir.

Realitinya, kejadian banjir bukanlah sesuatu yang sepatutnya menjadi kelaziman. Kita tidak seharusnya menerima takdir dengan berpeluk tubuh.

Yang sepatutnya kita percepatkan ialah pengurusan banjir yang cekap.

Manfaatkan sains dan teknologi dan tengok negara lain mengurus bencana.

Paling dekat ialah dengan memastikan longkang rumah kita tidak tersumbat dibersihkan dengan sempurna.

Kalau kita tinjau longkang di mana-mana lokasi, jarang sekali ia bersih. Ambil isu kebersihan ini sebagai tanggungjawab bersama.

Dalam skop yang lebih luas, ialah pembangunan kawasan penempatan berdaya tahan seperti sponge city, mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda dan memindahkan kampung tepi sungai yang berisiko banjir ke kawasan lebih tinggi.

Usaha besar bermula dengan langkah yang kecil, jadikan kebersihan dan sayangi alam sebagai budaya hidup.

Seperti pernah saya sentuh dalam kolum ini sebelum ini, kita sebenarnya yang perlu lebih cakna dengan menjaga alam, barulah alam boleh menjaga kita.

Contoh paling nyata ialah kawasan lapang laman rumah yang kita ratakan dengan simen dengan alasan mudah di jaga.

Kita ganti dengan rumput tiruan supaya cantik, senang jaga dan tidak kotor, sedangkan kita lupa, pokok semulajadi itulah yang bukan sahaja berzikir untuk tuannya tetapi memastikan persekitaran hidup kita lebih sejahtera.

Kurang seminggu kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada 2022. Bagi saya, kalau tidak mencipta azam baharu, memadai untuk kita lihat insiden lalu sebagai pengajaran.

Ambil iktibarnya dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.

Ia jauh lebih murni daripada kita hanya ‘mengumpul’ azam atau terikut-ikut dengan orang lain yang berazam itu dan ini tetapi akhirnya tidak kita kotakan.

Selamat tinggal 2022, selamat datang 2023.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya