SIAPA sangka hubungan yang begitu serasi dan penuh dengan kegembiraan tiba-tiba berakhir dengan perpisahan.
Bagaikan tidak dijangka malah tidak tahu sebab yang jelas.
Demikian juga konflik rumah tangga antara Nora dan Mokhtar, (bukan nama sebenar) yang mengejutkan ramai pihak terutama ahli keluarga dan rakan-rakan rapat.
Susulan daripada perpisahan itu, Nora didakwa dan dituduh curang di belakang suami.
Sepanjang berkahwin, Mokhtar berjaya menyembunyikan perangai sebenarnya terutama dengan ahli keluarga sendiri mahupun keluarga sebelah Nora serta rakan-rakannya.
Mokhtar digambarkan sebagai seorang yang pendiam, rajin dan ringan tulang.
Berbeza dengan Nora seorang yang ceria, periang dan peramah.
Apabila mengetahui pasangan ini berpisah, masing-masing menuding jari ke arah Nora sebagai punca.
Hari ini, selepas hampir enam tahun Nora tampil berkongsi perkara sebenar disebalik perpisahannya itu.
Melalui kiriman emel kepada saya baru-baru ini, Nora yang kini menetap di Johor Baharu bersama suami keduanya, Sani (bukan nama sebenar) menjelaskan apa yang dilakukan bertujuan membersihkan namanya.
Dalam emelnya, Nora membuka cerita selama hampir 18 tahun hidup bersama Mokhtar dia sering menjadi mangsa kekerasan lelaki itu, baik secara fizikal mahpun mental.
Mokhtar seorang pemabuk dan kaki judi.
Di akhir pergaduhan yang membawa kepada penceraian itu, Nora menerima beberapa pukulan di bahagian kepala hanya kerana dia meminta lelaki itu meninggalkan tabiat buruknya itu.
Ketika itulah Nora meminta Mokhtar untuk menceraikannya selepas tidak tahan dengan pukulan bertubi-tubi daripada lelaki berbadan sasa itu.
Sepanjang 18 tahun hidup bersama, Nora sering keluar masuk hospital kerana kecederaan yang dialami.
Namun dia kekal menyimpan rahsia rumahtangganya demi anak-anaknya yang masih kecil ketika itu.
Disebabkan itu juga selepas mengumunkan penceraian, Nora tidak kisah dituduh meminta cerai daripada Mokhtar kerana ada hubungan dengan lelaki lain.
Selama bertahun-tahun Nora mengambil keputusan mengunci mulut dan meminta ahli keluarga memberikan ruang untuknya bertenang.
Dia tidak perlu menjelaskan apa yang berlaku terhadap rumah tangga bersama Mokhtar ketika itu.
Sama seperti isteri-isteri yang lain, Nora mengimpikan mahligai yang dibina atas dasar cinta kekal bahagia hingga ke syurga.
Bagaimanapun tidak semua bernasib baik di mana akan ada perkahwinan yang kecundang di tengah jalan.
Tidak kurang juga yang alami masalah lain sepertinya yang mendapat suami kaki pukul dan pemabuk.
Walaupun disepak terajang, hidup terseksa bagai dalam penjara, Nora masih bertahan dan setia bersama suami kerana mahu menyelamatkan rumah tangga.
Mulut kata benci, tapi tiada sebarang tindakan diambil sehinggalah tiba kemuncaknya pada malam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam selepas dia melihat suami minum minuman keras di dalam rumah.
Tindakannya menegur Mokhtar itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan dia dipukul teruk.
Mokthar yang berang kemudian menumbuk dahi dan menendang badan Nora sebelum mengugut akan mengambil pisau dan membunuhnya dan anak-anak.
Sebelum ini dia masih tinggal serumah dengan suami yang kaki pukul kerana bimbang disabitkan nusyuz jika keluar daripada rumah.
Selepas sah bercerai, masing-masing bersepakat menjaga salah seorang anak mereka.
Nora mengambil keputusan menjaga anak sulung lelakinya ketika itu berusia 18 tahun, manakala bekas suami bersetuju menjaga anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun.
Mungkin Nora pernah berduka dan bersedih di atas kegagalan perkahwinan terdahulu, namun ia bukan titik noktah untuk dia merasai kebahagiaan dalam perkahwinan kedua.
Hadirnya Sani pengubat luka di hati Nora.
Walaupun berbeza usia, jika sudah tertulis jodoh, pasangan itu akhirnya diijab kabul.
Dakwaan sesetengah orang dia meminta cerai daripada Mokhtar kerana ada lelaki lain adalah tidak benar sama sekali.
Dia hanya bertemu dan menjalinkan hubungan dengan Sani yang masih bujang hanya selepas enam bulan bercerai dengan Mokhtar.
Nora bersyukur walaupun berstatus janda anak dua, dia diterima baik masuk ke dalam keluarga Sani.
Ujian hidup Nora tidak berakhir di situ sahaja.
Pada awal perkahwinan, dia masih menerima gangguan daripada Mokhtar.
Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada Nora bagi memastikan dia diceraikan Sani.
Kematangan Sani dalam mendepani Mokhtar yang sering mengganggu rumah tangga mereka menguatkan lagi kasih sayang pasangan ini.
Pejam celik, pejam celik.
Tahun ini genap usia lima tahun perkahwinan antara Nora dan Sani.
Walaupun pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata namun mereka tetap bahagia.
Berbeza usia tidak menghalang pasangan ini untuk menikmati kemanisan berumahtangga.
Dalam emelnya itu juga, Nora turut memaklumkan dia kini sedang berusaha mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya yang kini berusia 15 tahun daripada bekas suami.
Sebagai ibu dia sangat bimbangkan masa depan dan keselamatan darah dagingnya itu yang difahamkan terabai.
Ini kerana bekas suami masih meneruskan tabiat lamanya minum minuman keras dan kaki judi.
Kisah Nora ini wajar jadikan pengajaran bahawa segala yang terjadi kepada kita dalam kehidupan ini adalah ketentuan yang telah ditakdirkan cukup baik untuk setiap hambaNya.
Allah yang Maha Bijaksana lebih mengetahui sesuatu yang terbaik dan sesuai untuk setiap manusia.
Kita hanya merancang. Sebaik-baik perancang hanyalah Allah Taala.
Sebagaimana Firman Allah SWT: Dan Mereka Merancang, Allah juga merancang, Dan Allah sebaik-baik Perancang. ( Surah al-Imran: 54).