ISTERI bertuah apabila memiliki suami memahami dan boleh melakukan tugas rumah tangga bersama-sama. Sebaliknya, suami yang hanya sibuk bekerja, tidak ambil tahu tentang anak dan isteri sendiri, ia seolah-olah memaksa isteri pikul beban dan beri tekanan dalam rumah tangga yang dibina.
Jika isteri bekerjaya, habis bekerja pulang ke rumah terpaksa pula berkhidmat untuk keluarga, anak dan urus pakaian serta makan minum.
Tidak henti di situ, dia juga menjadi orang terakhir masuk tidur tetapi paling awal bangun untuk urus rumah tangga hari berikutnya.
Wanita bergelar isteri sewajarnya diberi satu ruang untuk merasakan dirinya mendapat kerehatan.
Kaunselor Berdaftar, Dr. Rafidah Kastawi menjelaskan, masa sendiri ini amat penting untuk membantu seseorang itu, khususnya isteri merehatkan fikiran daripada tekanan dan rutin yang memenatkan.
Lantaran tugasan dan peranan wanita bukan sebagai isteri sahaja tetapi sebagai seorang ibu, anak perempuan, menantu, ipar duai dan pekerja terlalu banyak tugas yang dibawa menyebabkan mereka terasa terbeban dengan emosi yang secara tidak langsung kepenatan fizikal itu juga dilalui wanita.
“Me time ini kalau kita mentakrifkan ia seperti pause iaitu berhenti sekejap, ambil ruang untuk rehat sebentar. Bukan ambil masa lama, ia supaya wanita berhenti sejenak untuk berada dengan dirinya sendiri.
“Ia juga adalah satu ruang untuk meluahkan emosi dan perasaan, mungkin dalam keadaan sedih atau tertekan, marah, penat dan sebagainya. Jadi, ruang yang ada itu untuk me time itu untuk melepaskan dan menerima keadaan itu,” katanya kepada Seri.
Beliau yang juga Pengasas Modul (Terapi Nurani) REST berkata, me time amat penting membantu seseorang itu merehatkan diri daripada tekanan dan cara bagi setiap orang adalah berbeza.
“Ia ada kaitan dengan aktiviti dan apa yang disukai oleh seseorang itu untuk merasakan dirinya mendapat kerehatan.
“Sesetengah orang, me time untuk keluar berjalan-jalan di taman selama satu atau dua jam, luang masa dengan kawan-kawan atau window shopping, baca buku, ke kelas agama dan sebagainya.
“Sekurang-kurangnya ada me time sekali atau dua kali seminggu. Mungkin 15 minit bertafakur sekejap atau selepas solat, duduk rehat 30 minit tanpa ada gangguan dengan anak-anak. Sudah cukup untuk seseorang itu merehatkan otak namun ia bergantung kepada keperluan emosi individu itu.
“Bukanlah menghabiskan duit atau berjoli sehingga meninggalkan tugas menguruskan rumah tangga tetapi ia berbalik kepada diri sendiri,” katanya.
Selain me time, terapi ekspresi seni menggunakan peralatan atau medium luahan secara kreatif dan spontan seperti melukis dan mewarna, mengukir tanah liat atau bermain doh, menghasilkan kolaj dan bermain pasir dapat membantu seseorang itu meluahkan dan menenangkan perasaan terhadap sesuatu isu dan setiap hasilnya akan menggambarkan perasaan mereka.
70 PERATUS WANITA MENDERITA
Lantaran tiada masa untuk diri sendiri inilah, hampir 70 peratus wanita yang datang ke meja REST di klinik beliau untuk mendapatkan bantuan psikologi telah berada dalam keadaan kronik, rasa nak bunuh diri, useless, mencederakan diri dan sebagainya apabila berdepan masalah rumah tangga.
“Ramai dapatkan bantuan, sokongan emosi dan psikologi kerana merasakan burnout yang membawa kepada stres dan anxiety yang akhirnya kemurungan. Ia kerana suami yang tidak endah dan peduli dengan isteri. Sibuk dengan telefon, melepak bersama kawan-kawan sedangkan ada hati yang merajuk dan menjerut rasa di sebelah.
“Berdasarkan pengalaman klien yang lepas, banyak pasangan suami isteri tiada komunikasi antara satu sama lain. Isteri kalau merajuk mengharapkan suami akan pujuk dan datang kepadanya. Dapat suami yang tidak melayan, isteri makan hati.
“Maka perlu ada persefahaman yang jelas tentang perkara ini. Sebab itu perlu wujudkan suasana keluarga yang kondusif menerusi persefahaman, komunikasi yang jelas dan berkualiti, berbual, pujuk, sentuhan dan belaian. Interaksi berkualiti membolehkan suami boleh faham yang isteri perlukan me time. Namun ada suami buat-buat tidak faham, tidak kisah dan buat andaian tugas isteri untuk melaksanakan hal rumah tangga,” katanya.
Melihat kepada kes yang beliau kendalikan, sebanyak lapan daripada 10 kes berpihak kepada kesalahan suami yang tidak dapat memimpin keluarga dengan baik.
“Hanya dua daripada 10 kes sahaja suami yang saling bantu dan bahagi tugas menguruskan rumah tangga. Selebihnya, menyerahkan sebulat-bulatnya kepada isteri.
“Menjadi ketua keluarga, suami perlu pimpin diri sendiri dan ada ilmu kemahiran keibubapaan atau kemahiran mengenal diri terlebih dahulu,” katanya.
Sebab itu pentingnya me time untuk beri ruang isteri berdoa kepada Allah SWT, memujuk diri, menerima keadaan dan buat sesuatu yang menggembirakan hati agar dapat lalui cabaran dan ujian Allah SWT untuk dirinya.
CARI CARA BAHAGIAKAN ISTERI
Segelintir suami hanya fikir diri mereka sahaja dan menyerah bulat-bulat hal rumah tangga kepada isteri sedangkan dia boleh keluar melepak, memancing dan balik rumah untuk makan sahaja kerana ia sikap tidak bertanggungjawab.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Mohd. Radhi Abdul Ghan berkata, seorang suami harus keluar daripada fahaman tipikal ‘isteri perlu buat segala-galanya’ kerana ia tidak betul.
“Dunia hari ini isteri juga keluar bekerja mencari nafkah bersama-sama. Nafkah itu adalah kewajipan suami, tapi dek kerana desakan atau keadaan yang terpaksa isteri itu keluar bekerja.
“Suami perlu keluar daripada kepompong kerja-kerja mutlak isteri yang mana di sinilah suami perlu ada satu sikap dan tanggungjawab untuk bersama-sama membantu isteri dalam pengurusan dalaman rumah tangga dan membuat yang terbaik untuk isterinya,” katanya.
Beliau yang juga Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya berkata, jika suami sedaya-upaya penuhi kebahagiaan isteri, percayalah isteri tidak perlu lagi mempunyai me time.
“Sebenarnya, ia sangat berkait rapat dengan peranan suami. Suami perlu mempunyai satu sikap dan sentiasa cari jalan untuk membahagiakan isteri. Contohnya, perhatikan apa isteri seronok lakukan.
“Sebab itu, saya suka beri peringatan kepada suami. Jangan jadikan isteri umpama seekor burung yang dikurung dalam sangkar. Jangan sesekali ada sikap sedemikian. Isteri kita adalah insan yang punyai hati, perasaan dan emosi.
“Jadi, jika kita merupakan seorang suami yang baik, dan berkualiti yang benar-benar mengikut apa yang dikehendaki Rasulullah SAW iaitu membahagiakan isteri maka suami carilah jalan untuk memberi kebahagiaan kepada isteri. Bak kata orang sekarang ini ‘beli jiwa isteri’ jangan fikir hal kita sahaja,” katanya.
Bagaimana suami sebagai ketua keluarga dapat mewujudkan keluarga yang bahagia?
“Nasihat saya, berilah ruang masa untuk isteri berehat. Luang masa sehari layani isteri seperti seorang permaisuri. Masak atau tunaikan permintaannya. Barulah isteri seronok jika suami melayani sebegitu.
“Apabila suami bersikap sedemikian, saya percaya isteri tidak perlu lagi nak ada me time. Sebab apa? Ini kerana suami sudah beri keseronokan dan kebahagiaan kepadanya,” katanya.
USAH JADIKAN TREND
Bagaimanapun, beliau kurang bersetuju dengan trend sekumpulan isteri untuk keluar melancong sekadar me time.
“Jika ini dilihat sebagai cara ini, saya tidak bersetuju berdasarkan panduan-panduan yang ada dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang sangat menjaga kemuliaan wanita. Ini kerana wanita merupakan satu senjata yang kerap digunakan oleh syaitan itu sendiri untuk ke jalan kerosakan. Yang menjadikan mereka ini menarik bagi pandangan lelaki.
“Sebaliknya, carilah yang bersesuaian dengan kedudukan sebagai seorang wanita dan isteri seperti aktiviti berkebun, memasak, berehat dan sebagainya.
“Berbalik kepada konteks Islam, me time tersebut perlu digunakan dengan betul dan tepat. Tinggal sekejap perkara keduniaan, cara itu mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan. Istighfar juga dapat menghilangkan kesedihan,” katanya. – UTUSAN