Pengalaman ditahan di lokap selama tiga hari, enam tahun lalu, tidak sesekali melemahkan semangat Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil untuk terus memperjuangkan dan mempertahankan hutan serta alam semula jadi negara ini.
Suara beliau masih lantang memperjuangkan pemeliharaan alam sekitar melalui media sosial malah sering kali juga pandangannya mengenai isu semasa berkaitan alam sekitar ‘ditagih’ oleh media arus perdana.
Bagi Shariffa Sabrina, menjaga alam yang dianugerahkan Allah SWT adalah fardu kifayah dan adalah berdosa besar sekiranya ada yang cuba menghentikan suara membela alam semulajadi.
“Sebagai badan bukan kerajaan (NGO), saya hanya menyuarakan sesuatu isu demi kebaikan negara malah NGO sepatutnya diberikan kebebasan bersuara kerana ia bukan badan yang meraih keuntungan.
“Kami bersuara kerana kita tahu bala bencana yang akan menimpa akibat merosakkan hutan. Enam tahun lalu saya sudah beri amaran kesan penebangan balak dan sekarang kita boleh lihat pelbagai bencana menimpa seperti banjir dan akhirnya rakyat menjadi mangsa,” katanya kepada Seri.
Beliau meluahkan rasa amat sedih apabila alam semula jadi tidak dijaga dengan baik di negara ini yang dianugerahkan dengan landskap hutan, gunung-ganang, sungai dan pulau yang indah.
Kerakusan menjarah hutan bukan saja merugikan rakyat dan pada masa sama, kerajaan terpaksa menampung kos untuk memulihkan infrastruktur yang rosak seperti jalan raya kesan bencana alam setiap tahun.
Tambah beliau lagi, sepatutnya wang yang ada digunakan untuk menambah baik infrastruktur lain untuk kemudahan rakyat seperti sekolah dan hospital berbanding terpaksa membaik pulih jalan raya dan jejantas yang roboh akibat tanah runtuh serta banjir yang berlaku setiap tahun.
Belajar dari negara jiran
Shariffa Sabrina berkata, Malaysia perlu belajar dari negara jiran seperti Thailand yang sudah menghentikan aktiviti penebangan balak dan Brunei yang mengekalkan kehijauan hutan mereka.
“Sedih lihat mereka menebang pokok hutan sehingga sungai rosak. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Di luar negara, jiran kita Thailand sudah menghentikan pembalakan. Kita kena belajar daripada mereka. Bukan kita tidak boleh potong pokok tetapi untuk negara kita sudah lebih dari cukup. Masalahnya kita mengeksport kayu-kayan kita dan diganti dengan pokok yang bukan pokok hutan.
“Khazanah alam ini, kita kena tunggu beratus tahun untuk dipulihkan. Jangan harap tunggu 20 tahun untuk pokok tumbuh tapi mungkin hingga 200 tahun. Rosak alam sekitar maka rosak ekonomi juga.
Dari segi jangka panjang. kita akan kehilangan eko pelancongan. Tambah pula alam tidak dijaga dengan membuang sampah di dalam sungai dan sebagainya. Rosak alam, alam akan hancurkan kita,” katanya tegas.
Perjuangan dihargai dunia
Biarpun ada yang tidak menyenangi suara lantang beliau mempertahankan alam semulajadi, usaha dan suara Shariffa Sabrina sebenarnya banyak mendapat perhatian pelbagai organisasi dari seluruh pelusuk dunia.
Walaupun tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran, pelbagai anugerah diterima beliau antaranya anugerah Sijil Doktor Profesional dalam Kepimpinan Global, Sosial, Korporat dan Hospitaliti dari Universiti Antarabangsa Eropah, Paris dan Profesor Kehormat Kesatuan Akademik Oxford, Perhimpunan Perniagaan Eropah pada tahun 2020 sebagai menghargai jasa dan beliau mempertahankan alam semulajadi negara ini.
“Awalnya saya menolak gelaran doktor dan profesor kerana tidak mahu dikatakan mendapatkannya dengan cara membelinya, tidak sesekali saya akan membelinya walaupun saya mampu tetapi mereka begitu bersungguh-sungguh mahu saya menerimanya. Mereka tahu perjuangan saya menerusi NGO dan membuat kajian mengenai usaha saya.
“Tanah Aina pun sudah menerima 26 anugerah yang kebanyakan diterima daripada organisasi dari luar negara. Antaranya, The Green Era Award dari Perancis, Anugerah Kecemerlangan dari Vienna, Austria dan terbaharu menerima Triumph Award dari World Conferedation Of Business.
Gemar reka menu baharu
Minat memasak bercambah sejak kecil lagi apabila berjaya membuat biskut milo pada usia enam tahun lagi. Sejak itu, beliau gemar mencuba pelbagai resipi yang diambil daripada makciknya.
Baginya keseronokan sebenar dalam berniaga makanan adalah keupayaan untuk mencipta menu baharu sebagai tarikan pelanggan untuk mencubanya.
Inilah yang membuatkan beliau tidak pernah jemu menguruskan perniagaan restoran dan kafenya yang terletak di Shah Alam, Selangor dan Lebuh Raya Karak, Pahang.
“Saya suka membuat kek dan pastri bila ada masa lapang untuk dijamu pada keluarga atau diletakkan di kafe. Itulah yang seronoknya bila kita ada restoran atau kafe sendiri di mana kita boleh mencipta pelbagai hidangan yang enak untuk pelanggan.
“Di masa lapang, saya gemar membaca pelbagai buku untuk menambah ilmu terutama untuk mendapatkan inspirasi menghasilkan hidangan baharu yang enak. Saya tidak suka duduk begitu saja menghabiskan masa,” katanya.
Beliau turut mengumpulkan semua resipi biskut dan keknya di dalam buku berjudul Tanah Aina Cookies & Cakes yang diterbitkan pada tahun 2018 dan buku yang memaparkan usaha beliau membina resort Tanah Aina di Raub, berjudul Tanah Aina, Journey of a Malaysian Woman to Retrieve Her Voice and Her Soul.
Reka modul senaman untuk warga emas
Biarpun sudah mencecah usia 60-an dan bergelar nenda kepada enam cucu, wanita berdarah campuran Arab di sebelah bapa dan belanda di sebelah ibunya ini, masih berjaya mengekalkan kecantikan kulit, bentuk badan serta cergas.
Semuanya kerana kerajinan beliau mengamalkan senaman sejak usia muda hingga kini. Malah beliau berkongsi ilmu kecergasan secara percuma kepada orang ramai yang berminat untuk belajar dengannya.
“Selepas tidak lagi memegang jawatan Presiden Pelindung Khazanah Alam (PEKA), saya kini aktif menjalankan aktiviti kecergasan bersama penduduk sekitar Shah Alam selaku Presiden Women Sport and Fitness Foundation.
“Saya juga menghasilkan lima modul senaman berimpak rendah sesuai untuk mereka yang berusia iaitu senaman 20 minit dan 30 minit ulangan. Setiap pagi bermula seawal 7.45 pagi, saya akan memimpin senaman di Taman Lembah SUK, sebelah Mahkamah Shah Alam yang terbuka untuk semua secara percuma,” katanya.
Katanya ada warga emas yang sebelum ini terhad pergerakan mereka, kembali cergas hasil mengikut modul senaman berkenaan. Antara modul yang dihasilkan adalah senaman menggunakan kaedah mengetuk dram menggunakan kayu, kompang sambil mengikut rentak muzik.
Terbaharu adalah senaman sambil duduk di atas kerusi yang boleh dilakukan sambil menonton televisyen atau ketika sedang bekerja sambil duduk.
“Orang Malaysia kurang bersenam terutama wanita Melayu dan India berbanding wanita Cina. Kita perlu bersenam sampai bila-bila, tidak kisah umur berapa. Kena jadikan amalan setiap hari,” katanya.
Ibu kepada lima anak ini berharap semua yang diusahakan terutama perniagaan beliau dan suami menjadi legasi yang akan diteruskan oleh anak-anak di masa depan.