Teknologi alam maya umpama rahmat bagi yang tahu menggunakannnya ke jalan yang betul.
Ibu beranak kecil atau ibu tunggal yang menyara keluarga contohnya, boleh saja menjual produk secara atas talian tanpa perlu bersusah payah membuka gerai di tepi dijalan.
Namun ada segelintir menggunakannya sebagai platform menjaja cerita negatif perihal keluarga sendiri untuk tatapan umum.
Bagi yang mencari sumber kewangan atau menjana pendapatan menerusi kontent, mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa berfikir panjang.
Jenis inilah yang selalunya menjerat diri sendiri dan secara tidak langsung membuka aib sendiri.
Bila tular dan dikecam, mulalah memohon maaf seolah-olah maaf itu tiada nilai, sekadar ‘mencukupkan syarat’ meredakan kemarahan masyarakat.
Baru-baru ini tular sebuah keluarga menularkan perlakuan mereka makan bersimpuh di tempat awam, siap dibentangkan tikar seolah-olah berada di tepi pantai. Konten jugakah kalau apa yang dilakukan itu memualkan orang ramai?
Melakukan sesuatu yang saya panggil agak ke belakang daripada zaman, bukanlah sesuatu yang cerdik dan seronok diperkatakan.
Bijaklah mencari lokasi untuk duduk berehat bersama keluarga, bukannya main terjah sahaja.
Selain menunjukkan sikap tidak sopan sebab tidak menghormati lokasi awam, ia juga menyebabkan orang lain tidak selesa. Bising dan pastinya berbau.
Kesal sebenarnya bila melihat mentaliti segelintir daripada kita yang terlalu mementingkan diri sendiri dan membuat perlakuan seolah-olah berada di rumah sendiri.
Bangga kejahilan dipertontonkan kepada umum dan diperkatakan. Malu dan sopan santun entah tertinggal di mana.
Mana peranan emak atau isteri dalam memberikan contoh terbaik kepada ahli keluarga? Dalam kolum kecil ini banyak kali saya sentuh mengenai peranan penting ibu dan wanita khususnya dalam memberikan pendidikan kepada ahli keluarga.
Tak perlu belajar sampai ke menara gading untuk mendapatkan ilmu adab sopan, kita semua bersekolah dan ada pendidikan. Perkara asas sebegitu pun nak kena beritahu?
Malaysia sangat menghargai wanita dan ia dibuktikan dengan negara terlebih dulu menyambut Hari Wanita pada tahun 1962, lebih awal daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala tarikh sambutan pada 25 Ogos setiap tahun dipilih Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Sejak dahulu wanita sering dijadikan bahan prasangka yang tidak menyumbang kepada masyarakat daripada pelbagai segi. Dalam semangat kemerdekaan yang masih menebal ini, hargailah penghormatan diberikan kepada kita. Tangkis tanggapan wanita tidak berupaya membawa ahli keluarga ke arah kecemerlangan. Yang berbangga nanti, bukankah ibu juga?
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.