SAYA ada pengakuan nak dibuat. Saya peminat Akademi Fantasia (AF). Saya membesar di celah-celah kegilaan masyarakat terhadap program realiti. Bukan saja AF, saya juga suka Malaysian Idol, One In A Million dan American Idol.
Waktu populariti AF dikatakan merudum pada AF4 akibat gelombang tsumawi, saya masih suka mengulang tonton musim itu. Bukan sebab pesertanya sangat, sebaliknya kerana Adlin Aman Ramlie dijadikan pengkritik tetap ketika itu. Saya sangat suka tonton sesi komen dalam AF.
Ketika rancangan televisyen di Malaysia masih meletakkan individu yang layak sebagai pengkritik, saya belajar banyak benda dengan mendengar kritikan mereka. Ia jadi rosak apabila pengkritik dilantik dalam kalangan bukan ahli. Pemain bola jadi pengkritik pertandingan lawak, contohnya.
Kitaran sintesis
Ahli falsafah mengajar kita tentang dialektik. Dialektik terbentuk dengan tiga proses: tesis, antitesis dan sintesis. Tesis ialah pernyataan, antitesis ialah idea lawan kepada pernyataan tersebut dan pertembungan dua perkara ini membentuk sintesis: kesimpulan yang terbentuk dengan gabungan dua idea tadi.
Dialektik akan berterusan apabila kesimpulan tadi menjadi tesis semula, dilawan dengan antitesis dan membentuk sintesis baharu. Semakin jauh kitaran itu berlangsung, semakin mantap sesuatu idea dan semakin banyak perkara dapat diteroka.
Ini hikmah kritikan. Kritikan menggerakkan wacana. Kita tidak bertakung pada idea lama sebaliknya idea itu berkembang dan semakin diteroka.
Dunia muzik tempatan kekurangan perkara ini.
Terbaik bro!
Ini bukan zaman kita letak tanda ibu jari di ruangan komen setiap kali artis melancarkan produk. Sokongan dan pujian itu perlu tetapi bukan sokongan dan pujian kosong serta tidak jujur. Kalau sedap kita kata sedap tapi kalau tak sedap, takkan kita nak “terbaik bro!” juga?
Ada beberapa kontroversi melibatkan beberapa kugiran dan saya tahu hal ini sudah berlaku lama. Ada kugiran didakwa menciplak lagu kugiran luar. Ciplak ini bukan dakwaan kecil. Ini jenayah intelektual.
Bukan berlaku di Malaysia saja. Penyanyi pop terkenal Indonesia, Pamungkas juga dikritik kerana dikatakan menciplak lirik dari sajak Charles Bukowski.
Tindakan sebegini wajib dikritik. Saya sendiri dengar lagu-lagu yang dikatakan menciplak itu dan saya dapati, unsur ciplak itu memang kuat. Jika ada yang berpendapat tindakan itu tidak salah, saya boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Namun, apa yang penting, kita jangan halang orang lain untuk mengkritik.
Ini inti utama artikel saya ini. Jangan tutup mulut pengkritik.
Majukan lapangan
Kritik bukan kecaman kosong. Kalau ada yang sengaja mahu mengecam kerana dengki atau masalah peribadi, itu memang patut kita diamkan. Jangan dipedulikan. Namun, kritik yang berisi perlu diambil dan direnung.
Hanya dengan kritikan lapangan muzik independen boleh maju. Kita tidak akan bergerak ke hadapan jika setiap kekurangan dan kemunduran didiamkan. Tanpa dialektik, lapangan akan bertakung. Bagai air, jika bertakung akhirnya membusuk. Lapangan perlu bergerak dan mengalir – kalau boleh dengan deras – barulah produknya sentiasa segar dan nyaman.
Dilema Rondivu
Jika anda membaca sampai ke tahap ini, mungkin ada terdetik yang Rondivu sendiri kurang mengkritik. Ini merupakan artikel ke-81 Rondivu dan diakui, saya memang kurang mengkritik.
Ia sesuatu yang saya kesalkan tetapi ada sebabnya ia begitu. Seperti yang pernah saya sembangkan dengan rakan-rakan, Rondivu bukanlah ruang yang sesuai untuk saya mengkritik secara terang-terangan.
Saya membayangkan diri sebagai penjaga pintu pameran muzik independen yang dihadiri peminat-peminat muzik arus perdana. Jika di pintu saya sudah bisikkan keburukan muzik independen, siapa yang mahu masuk? Disebabkan Rondivu ini duduknya dalam sisipan akhbar arus perdana, peranan saya untuk mengkritik agak terbatas.
Jadi, apa yang saya boleh buat? Setakat ini, saya hanya mampu memperketat pemilihan artis atau kolektif yang mahu ditampilkan dalam ruangan ini. Seperti pameran, saya perlu amalkan kurasi. Jadi, jika ada permintaan untuk tampil dalam kolum ini yang saya tolak, harap anda faham. Ia bukan penolakan tetapi cabaran. Jadi yang terbaik dan saya sendiri akan cari anda.
Akhirnya, teruslah mengkritik. Buat pengkarya pula, buka hati untuk terima kritikan. Anda tidak wajib mengubah segala yang dikritik pun, tetapi jangan didiamkan kritik atas alasan kita perlu sokong semua produk tempatan. Jangan kita lupa, sokongan juga boleh membawa rebah. – Mingguan Malaysia