Akhirnya, Allah ketuk pintu hati saya - Utusan Malaysia

Akhirnya, Allah ketuk pintu hati saya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jujur, setiap kali saya menonton lakonan figura ini, saya terhibur. Pada saya, ratu komedi adalah dia. Telatahnya bersahaja. Tapi, berbisa.

Berilah apa sahaja watak, pasti menjadi. Paling diingati, watak Mak Limah dalam drama komedi Rumah Kedai.

Perjalanan seni Rosnah Mat Aris ada naik turunnya. Laluannya tak mudah. Banyak aral melintang.

Hari ini, kita masih melihat dia di kaca televisyen. Benarlah, rezeki pemberian Tuhan. Kekalnya dia dalam industri juga satu penganugerahan.

Soalan itu saya tanyakan kepada tuan punya badan. Rahsia dia kekal bertahan.

“Macam inilah, dari dahulu saya kerja untuk cari rezeki. Halal.

“Nak glamor? Popular? Tidak. Sampai sekarang saya anggap berlakon sebagai kerja. Tidak lebih daripada itu.

“Tapi saya bersyukur. Saya makin seronok berlakon. Bosan? Tak pernah. Sedikitpun tidak. Bila kerja, saya gembira. Duduk di rumah, sakit hati,” jawabnya.

Di awal pembabitan sekitar 1980-an, Rosnah tidak menyimpan sedikitpun minat terhadap dunia lakonan. Penglibatannya, di usia 30-an atas keterpaksaan, memenuhi pelawaan rakan untuk menjadi pelakon tambahan.

“Saya minat berniaga. Tak pernah terfikir nak jadi pelakon. Langsung tak terbuka hati. Tapi kuasa Allah. Dia alih rezeki saya ke dalam industri.

“Allahyarham Hasnah Ibrahim minta tolong saya jadi pelakon ekstra. Saya tolak. Tapi dia merayu-rayu minta tolong. Jadi saya penuhi.

“Tiga kali ajakan. Akhirnya, Allah ketuk pintu hati saya. Tiba-tiba rasa suka itu timbul. Barulah terdetik dalam hati. Kalau tidak, memang saya tak minat,” ceritanya.

Kata Rosnah, rezeki lakonan tidak putus. Meskipun menginjak ke usia 67, dia masih diberi kepercayaan.

“Saya masih aktif. Tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak penggambaran tertangguh.

“Oktober lepas, saya berlakon filem. Bawa watak Mak Datin. Menarik ceritanya. Tiga janda menawan dunia. Penggambaran selesai. Cuma tayangan tak tahu bila,” katanya.

Sinonim dengan watak komedi, saya layangkan soalan, tidakkah dia bosan? Ada tidak keinginan mencuba sesuatu yang baru?

“Saya suka buat komedi. Seronok. Dah banyak kali bawa watak serius. Malas.

“Kalau diberi pilihan, saya pilih komedi. Watak berat ini stress.

“Tetapi kalau ditawarkan saya ambil. Zaman sekarang kau nak memilih dik? Jangan buat hal. PKP balik, habis,” ujarnya berseloroh.

 

KITA SILAP, TAUBAT

Pelbagai kontroversi menghimpit insan yang mesra disapa kak Ros ini. Jika diimbas kembali, sekitar 15 tahun lalu. Namanya meledak dek kontroversi menghina Nabi.

Itu cerita berbelas tahun lalu. Kesan dan akibatnya masih pelakon ini rasakan. Begitu jugalah dengan kecaman, masih ada yang melayangkan.

Namun wanita ini menyerah segalanya kepada Tuhan. Katanya, buat apa difikirkan cakap-cakap orang.

“Suka hati dia orang lah dik. Kita manusia, ada sahaja rasa tak puas hati. Dosa orang nampak, sendiri punya? Tidak.

“Kita tak sempurna. Tapi ada yang ambil kerja Tuhan. Lantak dia oranglah. Kita silap, taubat. Bukan tau buat,” luahnya.

Bila saya soal, adakah dia terkesan? Jujur katanya tidak. Bahkan, Rosnah menganggap kecaman satu perkara biasa. Lumrah bergelar anak seni.

“Sedih? Tidak. Baik aku mengadu dengan Allah. Kecaman orang, biasa. Tak hairan.

“Takut pada Allah, bukan manusia. Apa yang berlaku, antara saya dengan Dia. Saya bukan sengaja. Dah minta ampun.

“Saya minta, kalau salah, Allah hukumlah. Alhamdulillah, Dia tahu apa dalam hati saya, niat saya. Apa yang berlaku, bersebab,” ujarnya.

 

DAHULU ADA YANG TUDUH SAYA GATAL

Rosnah juga dahulu pernah diperkatakan gara-gara berkahwin suami muda, Tajul Efendie Isa, 40.

Hanya kerana perbezaan usia, ada mulut-mulut jahat yang meramalkan rumah tangga pasangan itu tidak akan kekal lama.

Bukan itu sahaja, si suami juga satu ketika dahulu dituduh mengahwini Rosnah hanya untuk menumpang harta dan kekayaan.

Benarlah kata Rosnah, orang akan bercakap selagi boleh. Segala fitnah dan dakwaan dia dan suami lalui dengan sabar.

“Alhamdulillah, tahun ini sudah masuk 14 tahun saya berkahwin dengannya. Itulah dia.

“Dahulu 13 tahun saya menjanda. Saya minta kepada Allah, kalau dia nak bagi jodoh, saya terima. Tetapi hadirkanlah insan yang tidak menyusahkan saya,” katanya.

Jelas Rosnah, mahligai yang berkekalan bukti pemberian Allah yang tidak ternilai. Katanya, dia bahagia dan tenang disamping suami yang bertanggungjawab.

“Dahulu, ada yang tuduh saya gatal. Gara-gara kahwin lelaki muda. Saya nak tanya, kalau gatal, kenapa dahulu 13 tahun saya menjanda?

“Jodoh Allah yang bagi. Saya terima. Tapi ramai yang ambil kerja Tuhan. Fitnah macam-macam. Tak apalah,” katanya lagi. – PANCAINDERA, MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya