Representasi Malaysia Timur dalam sinema Malaysia - Utusan Malaysia

Representasi Malaysia Timur dalam sinema Malaysia

Poster filem Perangsang Rentap (2017)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Oleh Norman Yusoff
Transformasi cetusan teknologi digital telah mendemokrasikan amalan perfileman, termasuk di Sabah dan Sarawak (bermula tahun 2000), yang telah mewajarkan kebanjiran karya cereka yang dihasilkan terus dalam format VCD (filem VCD) yang mendapat sambutan baik khalayak tempatan. Dipercayai faktor penyebab kepada perkembangan ini adalah ketiadaan representasi Malaysia Timur dalam sinema Malaysia sepanjang era 1990-an.
Tidak dinafikan, perkembangan representasi Malaysia Timur dalam sinema Malaysia hanya mula menyemarak sejak lima tahun kebelakangan ini. Terdapat filem yang diinspirasi dari sejarah atau tokoh wira masa lalu: Peransang Rentap (Lina Johor, 2017) dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (Bade Haji Azmi, 2017).
Ada pula yang menggembleng pendekatan genre popular bersama kandungan yang bernuansa dan beridentitikan budaya di Malaysia Timur: Belaban Hidup: Infeksi Zombie (Ray Lee, 2021), Avakas (Marc Abas, 2020) dan Tombiruo: Penunggu Rimba (Seth Larney, 2017).
Tidak kurang yang memanfaatkan landskap Borneo sebagai latar atau ruang naratif: Tangisan Akinabalu (Jurey Latiff Rosli, 2018), Craze Below the Wind (Katak Chua, 2020), Nota (Yasu Tanaka, 2015) dan Gerimis Mengundang (Ahmad Idham, 2012).
Namun, cabaran utama karyawan filem era digital ini adalah menjadikan karya mereka ‘sinematik’ memandangkan banyak filem Malaysia hari ini berestetika dan berwajah ‘TV’, selain diharapkan mereka tidak terperangkap dalam usaha mengeksotikkan citra dan representasi Malaysia Timur.

Perkembangan awal representasi Malaysia Timur
Jika disorot kembali, representasi Borneo bermula dengan dua filem terawal era studio di Singapura: The Long House (Phani Majumdar, 1957) dan Chinta Gadis Rimba (L. Krishnan, 1958). Kedua-dua filem ini memaparkan komuniti peribumi Sarawak yang sebenar dengan mendokumentasikan budaya dan gaya hidup mereka.
The Long House terbitan Shaw Brothers berkisar percintaan di antara seorang lelaki Inggeris dan wanita Dayak manakala Chinta Gadis Rimba pula terbitan Cathay-Keris adalah adaptasi novel karya Harun Aminurrashid, dengan kisah cinta seorang gadis Iban dengan seorang pemuda Melayu.
Namun, selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963, filem-filem terbitan Studio Merdeka, Kuala Lumpur, tidak langsung memperlihatkan usaha merepresentasi Malaysia Timur. Keadaan ini mula berubah bila sinema Malaysia pasca era studio, yang menyaksikan kelahiran syarikat-syarikat perfileman Bumiputera selepas diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971, mula merepresentasi masyarakat dan budaya Malaysia Timur, walaupun jumlahnya masih kecil.
Filem terawal beraspirasi DEB, Keluarga Comat (Aziz Satar, 1975), sebuah komedi slapstik terbitan Sabah Film Productions – perintis perusahaan filem Bumiputera yang muncul menjadi syarikat perfileman paling prolifik sedekad selepas itu. Naratif filem ini cuba menghubungkan masyarakat di Sabah dan Semenanjung tanah air menerusi fokus perdamaian semula keluarga serta penyatuan romantis.
Beberapa filem lain keluaran Sabah Film turut menampilkan Sabah sebagai lokasi dan latar cerita, termasuk komedi Gila-Gila (Omar Rojik, 1979) dan biopik sejarah, Mat Salleh Pahlawan Sabah (Omar Rojik, 1983).
Filem Negara Malaysia mula menghasilkan filem-filem cereka bagi pasaran komersial lewat 1970-an bermula dengan Dayang Suhana (A. Aziz Abas, 1978), yang berkisar seorang lelaki Semenanjung mendapati wanita Sarawak yang ingin dinikahinya ialah adik kandungnya yang sudah lama terpisah. Justeru Dayang Suhana boleh dibaca sebagai alegori nasional (Malaysia) dalam konteks pembentukan sebuah negara-bangsa yang menghubungkan Malaysia Barat dan Timur.
Ketika era ini juga, terdapat filem yang cuba membayangkan idea ‘bangsa serumpun’ dalam konteks imaginari rantau dunia Melayu (Nusantara) seperti Janjiku Pada Dia (Ratno Timoer, 1980), sebuah filem usahasama Sabah-Indonesia, dan Jasmin 2 (Kamarul Ariffin, 1987) yang turut menghubungkan watak-watak Semenanjung tanah air, Sarawak, Indonesia dan selatan Thailand.
Sutradara terkenal Rahim Razali pernah mengarahkan Anak Sarawak (1988) yang membawa tema dan naratif penyatuan semula hubungan persaudaraan menerusi kisah protagonisnya, seorang pegawai daerah yang dihantar bertugas ke daerah Laka bagi membendung ancaman anasir luar di samping terpaksa berhadapan kemelut politik di situ.
Di luar ranah arus perdana, terdapat sebuah filem eksperimental Bejalai (Stephen Teo, 1989) yang berfokus kepada ‘ritus peralihan’ anak muda lelaki Iban yang perlu berkembara sebelum mencapai tahap kematangan.

Harapan dan hala tuju masa hadapan
Amalan perfileman bukan arus perdana di Sabah memperlihatkan perkembangan yang baik, dengan sejumlah pembikin filem muda begitu aktif menghasilkan dokumentari dan filem pendek berkenaan isu-isu sosio-politik negeri itu dengan perspektif kritis.
Sesungguhnya dapat diterokai cerita Sabah dan Sarawak yang kaya lagi rencam, termasuklah yang menghuni aspirasi kontra, suara alternatif atau marginal, dan wacana sanggahan, yang telah turut membentuk Malaysia Timur hari ini. Hal ini penting bagi menjadikan sinema Malaysia lebih kritis, matang lagi inklusif.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Perdana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya