KUALA LUMPUR: Penyanyi, Iqwan Alif, 26, percaya usaha dan kualiti produk yang konsisten mampu memperkuatkan namanya dalam arena hiburan tempatan tanpa sebarang kontroversi.
Menurut Iqwan yang juga merupakan seorang pelakon, hal ini bukan sahaja menjaga nama dirinya tetapi juga maruah keluarga.
“Saya sebaik-baiknya enggan terlibat dalam kontroversi apa pun sebab masih menjaga air muka keluarga.
“Penglibatan dalam bidang seni ini pun satu kepercayaan yang saya dapat daripada keluarga. Almaklumlah keluarga tiada yang dalam bidang seni.
“Jadi saya mahu terus berada dalam industri ini dengan mengekalkan nama baik dan orang kenal bakat serta karya daripada saya itu sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah bekas peserta program Akademi Fantasia 2015 itu lagi, selain menyanyi dia juga mahu mengasah bakat lain.
“Iyalah, kita menuntut ilmu pun di institusi seni. Jadi rugi kalau tak kembangkan bakat dan ilmu yang sudah dipelajari.
“Untuk masa sekarang ini, Alhamdulillah saya mula sibuk dengan projek tahun akhir, pre-produksi untuk lagu baharu seterusnya.
“Bahkan ada permintaan persembahan pentas dan iklan serta aktiviti seni lain lagi,” katanya.
Jelas Iqwan dia mahu merebut peluang yang ada sebab zaman sekarang semua pantas apatah lagi selepas dua tahun kita sudah melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Setakat hari ini Iqwan merakamkan kepuasan dengan lagunya iaitu Wow dan berterima kasih kepada semua pendengar dan penyokong setianya. –UTUSAN ONLINE