KUALA LUMPUR : Perkongsian video usahawan yang juga merupakan personaliti media sosial, Iddin Syah melakukan amal kebajikan dengan menghulurkan sumbangan di bazar Ramadan mengundang rasa kurang senang segelintir netizen di media sosial.
Dituduh menunjuk-nunjuk berbuat kebaikan, Iddin yang juga merupakan pengasas jenama kecantikan ESW ini berkata, dia tidak menyangka niat baik yang dilakukannya atas hasrat mahu berkongsi rezeki itu kemudiannya telah menerima komen negatif netizen.
“Sebenarnya sebelum ini pun saya buat (derma) cuma tak tunjuk, kita buat sendiri-sendiri sahaja. Tapi bila tak buat orang mempersoalkan pula, jadi kita tunjuklah untuk beritahu kita pun ada beri sumbangan.
“Lagipun sekarang ini bulan Ramadan, tak salah saya kongsi rezeki dengan orang lain, mana la tahu dengan apa yang saya tunjuk itu mungkin boleh jadi contoh kepada orang lain.
“Saya dah biasa kena kecam tapi bila baca komen yang kata bukan-bukan itu sedikit sebanyak membuatkan saya kecil hati sebab mereka seolah-olah tak beri sokongan atas apa yang saya buat,” katanya.
Menerusi platform TikTok, Iddin menyerahkan sumbangan kepada 500 orang pengunjung bazar Ramadan di Kuala Ketil, Kedah, baru-baru ini menjadi tular di media sosial.
Dalam rakaman itu, orang ramai dilihat beratur panjang bagi mendapatkan bantuan berupa beras, biskut dan senaskah al-Quran.
Bagaimanapun perkongsiannya ahli perniagaan berusia 27 tahun itu mengundang kecaman apabila ada yang menuduhnya menunjuk-nunjuk.
Sementara itu, Iddin berkata tujuannya berkongsi rakaman video berkenaan adalah kerana mahu memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya usahawan muda.
“Ini bukan kali pertama, tahun lalu saya viral sebab borong makanan peniaga bazar yang tak habis dijual itu pun kena kecam!
“Apa yang saya kongsi ini sekadar nak beri inspirasi kepada orang lain terutamanya peniaga muda supaya mereka pun berminat nak hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Sekarang ini ramai orang susah, tak salah kita bantu-bantu. Lagi pun laman sosial saya banyak golongan muda, sekurang-kurangnya bila mereka tengok bolehlah jadi inspirasi nak membantu orang lain,” ujarnya.