JAKARTA: Pelakon tampan, Rizky Billar telah membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna Instagram (IG) yang memuat naik kenyataan yang mencemar nama baiknya.
Lapor portal Liputan6, perkara itu disahkan Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya, Yusri Yunus.
“Laporan dibuat selepas pelaku memuat naik gambar pengadu di Instagram (IG) berserta kenyataan yang mencemar nama baik pelakon tersebut pada 20 Julai lalu.
“Kes masih disiasat. Akaun IG berkenaan telah ditutup, namun jejak digitalnya tidak hilang,” katanya.
Yusri bagaimanapun tidak mendedahkan kenyataan dan akaun IG yang digunakan pelaku.
Rizky atau nama sebenarnya Muhammad Rizky Billar mengecap populariti menerusi beberapa filem pecah panggung seperti Cinta Nikita dan Anak Jalanan.
Selain berlakon, suami kepada penyanyi Lesti Kejora ini juga berbakat dalam nyanyian dan pernah mengeluarkan beberapa lagu termasuk Takdir Cinta dan Pemimpinmu. -UTUSAN ONLINE