PETALING JAYA: Jaguh pecut No. 1 dunia, Azizulhasni Awang memohon rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dia dan keluarganya susulan pelaksanaan perintah berkurung di Melbourne, Australia.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu berkata, Melbourne yang juga lokasi latihannya kini sedang menjalani snap lockdown bermula Jumaat lalu ekoran terdapat kes baharu Covid-19.
“Cuma nak kongsi kepada anda semua berita kurang gembira. Di Melbourne, tempat saya berlatih sekarang ini sedang menjalani snap lockdown (sekatan tahap empat).
“Ia bermula pada pukul 11.59 tengah malam semalam (Jumaat) gara-gara ada beberapa kes baru dicatatkan terutama dari pekerja di Tullamarine Airport.
“Snap lockdown ini selama lima hari dan keputusan akan dibuat berdasarkan maklum balas ujian Covid-19 sama ada akan dilanjutkan atau sebaliknya.
“Diharap anda semua dapat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saya dan keluarga di sini. Terima Kasih semua,” tulis Azizul atau terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu di Twitter semalam.
Pelumba berusia 33 tahun itu kini dalam persediaan memburu emas Olimpik sulung negara di Tokyo pada Julai depan, selepas mengakhiri musim 2020 dengan meraih emas acara keiren Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lalu