PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) menyemak naik unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) 2024 kepada RM4,000 satu tan berbanding RM3,800 sebelum ini, susulan jangkaan pengeluaran MSM lebih rendah yang mungkin dicatatkan pada akhir separuh pertama atau awal separuh kedua tahun depan.
Firma penyelidikan itu berkata, penurunan harga MSM semasa mungkin bersifat sementara dan dijangka pulih mulai tahun depan memandangkan stok minyak sawit semasa yang tinggi di negara pengeluar utama seperti Malaysia dan Indonesia dijangkakan memuncak dalam tempoh terdekat berikutan pengeluaran sawi mencecah paras tertinggi.
“Spread minyak sawit-minyak gas (POGO) yang menggalakkan jika berlanjutan akan merangsang permintaan manakala kesan El Nino yang perlahan ke atas pengeluaran sawit juga dijangka bermula pada separuh kedua 2024 dan seterusnya,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, harga MSM mencatatkan aliran menurun baru-baru ini, dengan harga purata setakat tahun ini adalah RM3,866 satu tan ekoran beberapa faktor kelemahan.
“Ia termasuk corak tanaman sawit yang lebih tinggi secara bermusim, paras stok minyak sayuran yang tinggi dalam kalangan negara pengguna minyak sayuran utama serta sentimen permintaan lemah terhadap minyak sayuran termasuk minyak sawit,” katanya.
Susulan itu, HLIB telah melaraskan unjuran harga MSM 2023 lebih rendah iaitu turun RM150 kepada RM3,850 satu tan, namun mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor perladangan dan unjuran keuntungan, harga sasaran (TP) dan penarafan buat masa ini.
“Kami hanya akan melaraskan unjuran keuntungan, TP dan penarafan bagi syarikat berasingan untuk mencerminkan unjuran harga MSM baharu dan pengeluaran tandan buah segar (FFB) kami bagi musim pelaporan prestasi kewangan akan datang bermula November 2023,” ujarnya. – UTUSAN