PETALING JAYA: Kenanga Research telah menaik taraf sektor sarung tangan kepada neutral (daripada underweight) dan mengubah saranan untuk Hartalega Holdings Berhad, Top Glove Corp Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad kepada pasaran berprestasi (daripada kurang berprestasi), sambil mengekalkan saranan pasaran berprestasi untuk Supermax Corp Berhad.
Pada Rabu, firma penyelidikan itu berkata, tidak seperti jangkaannya, terdapat kejutan daripada seorang pemain dari segi kerugian yang lebih kecil, tetapi keputusan suku kedua tahun kalendar 2023 (S2TK2023) pembuat sarung tangan tidak dinafikan masih merosot.
“Walaupun industri sarung tangan masih berdepan dengan cabaran, kami percaya yang paling teruk telah berakhir dari segi penurunan taraf pendapatan, disokong oleh pengurangan tekanan kos dan penjimatan yang berpunca daripada penyahtauliahan kilang yang lebih tua menuju ke separuh kedua tahun kalendar 2023.
“Dalam pada itu, sebarang tambahan pelucutan kemudahan pengeluaran lama daripada pemain tempatan boleh mengurangkan lebih banyak tekanan bekalan daripada sektor itu,” katanya.
Kenanga Research berkata, pengurangan kapasiti industri seharusnya mengembalikan persaingan yang lebih rasional dan diharapkan dapat menghentikan pergelutan pemain.
Firma penyelidikan itu menyasarkan harga sasaran (TP) RM1.85 untuk Hartalega, 75 sen untuk Top Glove, RM1.28 untuk Kossan dan 80 sen untuk Supermax.
Kenanga berkata, ia menjangkakan persekitaran operasi akan kekal mencabar pada suku berikutnya, dibelenggu oleh lebihan bekalan secara besar-besaran.
“Namun begitu, kami menjangkakan situasi lebihan bekalan menjadi kurang meruncing dan bertambah baik secara beransur-ansur berikutan tanda-tanda pemain mengurangkan kapasiti pengeluaran melalui penyahtauliahan kilang terpilih.
“Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2025 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu yang akan datang sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15 peratus setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan, ” katanya. – UTUSAN