PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Tropicana Corporation Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM211.4 juta pada suku kedua 2022, iaitu 8.4 peratus lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya, disokong peningkatan dalam pelaburan hartanah, rekreasi dan operasi resort.
Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM61.5 juta berbanding RM43.5 juta pada suku yang sama 2021, terutamanya disebabkan oleh pengebilan kemajuan yang lebih rendah merentas projek utama di Lembah Klang dan wilayah Selatan kerana kebanyakan projek masih di peringkat awal hingga pertengahan pembinaan.
Pengarah Urusan Kanan Tropicana, Joanne Lee berkata, jualan agresif kumpulan dan kempen perkongsian serta lantunan progresif dalam aktiviti ekonomi akan membantu merangsang pertumbuhan kumpulan.
“Tahun ini, Tropicana melancarkan banyak kempen proaktif, seperti Multi-Million Mania, Tropicana Power Up serta Tropicana go-go FIT. Semua kempen mendapat maklum balas positif.
“Sebagai contoh, kempen Multi-Million Mania mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan dengan menarik sebanyak 5,600 peserta, sekali gus menjana RM524.2 juta tempahan hartanah dan RM10.7 juta jualan runcit di Tropicana Gardens Mall.
“Kami akan terus memanfaatkan kempen yang mengutamakan pelanggan untuk mendapatkan lebih banyak jualan dan kekal optimistik tentang prospek jangka panjang kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, untuk mempercepatkan pertumbuhan kumpulan, pihaknya terus membuka kunci simpanan tanah yang menawarkan sehingga lapan pembangunan baharu dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM2.9 bilion.
“Kami akan terus memperbaharui projek kami, sambil menyesuaikan diri dengan sentimen pasaran dan kekal setia kepada DNA pembangunan Tropicana,” ujarnya.
Bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2022, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM434.7 juta, iaitu RM0.8 juta lebih rendah jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, jumlah simpanan tanah Tropicana meliputi 2,091 ekar, dengan jumlah keseluruhan potensi GDV kira-kira RM203.7 bilion, meletakkan kumpulan dalam kedudukan yang baik untuk membuka kunci nilai bank tanah strategiknya dan memberikan prestasi yang mampan dalam beberapa tahun akan datang. – UTUSAN