Jokowi sasar AS$200 bilion, dorong pertumbuhan ekonomi negara
INDONESIA: Presiden Joko Widodo menyasarkan AS$200 bilion (RM827.2 bilion) untuk dana kekayaan baharu Indonesia pada dua hingga tiga tahun akan datang bagi mendorong ekonomi negara ini yang digerakkan oleh sumber daya untuk mengangkat rantai nilai.
Jumlah itu merupakan dua kali ganda daripada sasaran AS$100 bilion (RM413.6 bilion) yang ditetapkan awal tahun ini. Perjalanan itu masih jauh buat dana yang mempunyai sumber AS$15 bilion (RM62.04 bilion) untuk permulaan.
Presiden Indonesia itu berkata, pihak kerajaan telah mengadakan perbicaraan dengan 50 pengurus dana dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Amerika Syarikat, dan Kanada yang berjanji membantu meningkatkan dana kepada AS$20 bilion (RM82.72 bilion) dalam masa enam bulan.
“Kita boleh capai sasaran itu. Kami memberi kebebasan kepada pelabur untuk memilih sama ada untuk melabur di seluruh portfolio atau memilih dana tematik. Itulah keunikannya,” katanya.
Reuters melaporkan, pengendali dana, Lembaga Pelaburan Indonesia, membenarkan para pelabur untuk memasukkan wang ke dalam subdana yang meliputi infrastruktur, rawatan kesihatan, pelancongan, teknologi dan pembangunan ibu kota nasional yang baru dirancang di Kalimantan.
Indonesia yang sudah lama tidak menarik pelaburan asing secara langsung, menggunakan dana kekayaan itu untuk membiayai pembangunan ekonomi jangka panjang.
Selain itu, negara tersebut yang memiliki simpanan nikel terbesar dunia, bertekad untuk meningkatkan nilai rantaian pelaburan dan menjadi pusat pembuatan bateri.
Baru-baru ini, negara itu telah menubuhkan syarikat pemegangan bateri kenderaan elektriknya dan sedang mencari rakan usahasama dengan beberapa pemain global termasuk, China Contemporary Amperex Technology Co. Ltd. dan LG Chem Ltd. dari Korea Selatan.
Kerajaan juga berjanji untuk mempertahankan kadar sifar cukai kereta mewah elektrik untuk meningkatkan jualan domestik dan mewujudkan pasaran lebih menarik bagi para pelabur.
“Kami ingin membina ekonomi hijau yang menghasilkan produk mesra alam, supaya kami boleh bergerak ke arah tenaga hijau,” jelas Jokowi.
Jokowi turut meminta para pelabur melihat potensi tenaga hidro, projek di Sungai Kayan, Kalimantan dengan keluaran maksimum 11,000 megawatt dan projek Sungai Mamberamo di Papua dengan 23,000 megawatt tenaga.
Tambah beliau, sumber tenaga geotermal mampu menghasilkan 29,000 megawatt.
Presiden Jokowi dilaporkan turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Tesla Inc. mengenai potensi pelaburan. – AGENSI