Kerajaan negeri sasar bina lebih banyak rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri sasar bina lebih banyak rumah mampu milik

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan data sasaran pembinaan pelbagai unit rumah mampu milik di Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Komtar, Georgetown hari ini. - FOTO/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sasaran pembinaan pelbagai unit rumah mampu milik di negeri ini ditingkatkan sebanyak 20 peratus menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin terhimpit akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, sebelum ini sasaran penyediaan rumah jenis itu adalah sebanyak 180,000 unit dan kini ditingkatkan kepada 220,000 unit.

“Ekoran keadaan Covid-19 dan adanya permintaan tinggi daripada rakyat, saya telah menyuarakan keperluan untuk meningkatkan penyediaan unit rumah itu kepada kerajaan negeri baru-baru ini dan cadangan ini telah dipersetujui.

“Setakat ini sebanyak 106,742 unit sudah dibina dan proses pemilihan untuk mereka yang benar-benar layak memperoleh unit-unit berkenaan akan sentiasa dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Jagdeep, bagi memastikan hanya mereka yang layak dipilih untuk mendapatkan unit itu, sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan pada 2013.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 33 premis perniagaan di negeri ini telah diarahkan tutup kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.

“Melihat kepada peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah diarahkan meningkatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan SOP.

“Mulai esok, MBSP akan meningkatkan kekuatan petugas pematuhan SOP di semua pasar awam, restoran dan pasar pagi kepada sekurang-kurangnya enam anggota atau mengikut keperluan semasa,” katanya.

Tambahnya, kadar pematuhan SOP dalam kalangan rakyat negeri ini juga berada dalam keadaan baik iaitu 99.65 peratus bagi kawasan pulau dan 99.30 peratus bagi Seberang Perai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya