Industri halal antara sektor diberi keutamaan - Utusan Malaysia

Industri halal antara sektor diberi keutamaan

RIZAL NAINY (kiri) dan Lee Chuan Teck pada majlis menandatangani MoU memperkukuh hubungan dua hala dan mendorong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi kedua-dua negara di di The Istana, Singapura baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Enterprise Singapore memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh hubungan dua hala dan mendorong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi kedua-dua negara.

Kerjasama ini memberikan tumpuan kepada aspek latihan, pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran yang lebih luas untuk PMKS kedua-dua negara.

SME Corp telah mengenal pasti lapan sektor yang akan diberi keutamaan untuk aktiviti padanan perniagaan termasuk pertanian pintar, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, peranti perubatan, industri halal, minyak dan gas, pelancongan dan biomas.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, melalui MoU ini diharapkan membawa kepada kerjasama lebih erat serta kemakmuran ekonomi untuk Malaysia dan Singapura.

Katanya, ini khususnya dalam pembangunan PMKS menerusi perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik.

“Kedua-dua negara amat mengharapkan untuk mengambil peluang daripada potensi sektor PMKS masing-masing dan memanfaatkan kerjasama ini bagi menyokong aspek keusahawanan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

“MoU yang dimeterai ini sememangnya satu peristiwa penting buat kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

MoU yang ditandatangani secara rasmi Rizal Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore, Lee Chuan Teck di The Istana, Singapura.

Majlis tersebut telah disaksikan oleh Perdana Menetri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Pada tahun 2022, Singapura muncul sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan menduduki tangga teratas dalam kalangan negara ASEAN.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM368.1 bilion, dengan lebihan perdagangan kepada Malaysia.

Eksport Malaysia ke Singapura pada 2022 mencecah RM232.56 bilion, manakala import berjumlah RM135.63 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya