SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan Jun sebagai Bulan Taksir Zakat (BTZ) berikutan masih ramai yang membuat pembayaran zakat kurang daripada amaun sepatutnya.
Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd. Fikri Naim Harun berkata, keadaan ini kerana pembayar zakat tidak mengemas kini nisab harta yang dikenakan zakat mengikut perolehan semasa dan hanya membayar mengikut jumlah yang ditetapkan lebih 10 atau 20 tahun dahulu.
“Sebagai contoh, zakat pendapatan daripada potongan gaji seseorang itu ditetapkan ketika dia baru bekerja dan setelah beberapa tahun, tentu gaji bulanan mereka telah naik dan bayaran zakat sepatutnya juga meningkat.
“Dengan BTZ, pembayar zakat juga boleh membuat kiraan untuk zakat-zakat lain yang perlu dibayar dan bukan hanya terhad kepada zakat pendapatan dan zakat fitrah pada bulan Ramadan sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.
Beliau berkata, tahap kesedaran menunaikan zakat di Selangor masih rendah iaitu hanya 30 peratus.
“Mengikut statistik, sepatutnya terdapat 1.47 juta penduduk di negeri ini yang layak membayar zakat, namun hanya 400,000 penduduk sahaja yang menunaikan zakat harta dan hampir sejuta lagi masih tidak berbuat demikian.
“Dengan jumlah pembayar zakat semasa, kita dapat mengumpulkan RM1 bilion pada tahun lalu jadi sekiranya sejuta lg pembayar zakat menunaikan tanggungjawab mereka, kita berpotensi mengumpul RM3.3 bilion seterusnya membantu lebih ramai penerima zakat di Selangor,” ujarnya.
Bagi meningkatkan lagi kesedaran pembayaran zakat khususnya pada golongan muda, Muhd. Fikri Naim menjelaskan, LZS telah melaksanakan strategi jangka panjang dengan memperkenalkan modul pendidikan zakat pada tahun ini.
Katanya, modul tersebut melibatkan program amali zakat di sekolah iaitu ‘Start with Seringgit’ di mana pelajar sekolah diajar bagaimana membayar zakat, akad pembayaran, pengiraan zakat dan sebagainya.
“Program amali ini dijalankan sebagai satu pendedahan supaya mereka tidak culas membayar zakat pada masa hadapan.
“Selain itu, kita juga memperluaskan platform pembayaran zakat yang kini tersedia di hampir semula aplikasi e-dompet bagi memudahkan golongan muda.
“Kita juga bekerjasama dengan pihak penyedia platform untuk menghantar notifikasi untuk melakukan pembayaran zakat supaya mereka sentiasa sedar tanggungjawab dan kewajipan mereka,” katanya. – UTUSAN