KENAIKAN harga rumah yang semakin tinggi amat membimbangkan sekali gus menyebabkan sebahagian generasi muda yang bekerja di pinggir bandar mahupun di bandar besar hanya mampu menjadi penyewa.
Isu tersebut bukan hanya berlaku kepada anak muda yang baru bekerja namun, ada juga yang sudah lebih 10 tahun menyewa rumah susulan tertekan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, rata-rata generasi muda yang ditemui menyewa dengan harga RM1,000 dan ke atas bagi rumah jenis pangsapuri di Lembah Klang, disebabkan masih tidak mampu membeli rumah sendiri kerana harga yang tinggi.
Bagi pekerja swasta, Mohd. Badrul Hisham Zakaria, 32, berkata, dia yang mula menyewa rumah sejak 2014, masih tidak mampu membeli rumah kerana faktor ekonomi belum stabil.
“Saya merasakan peluang untuk membeli rumah agak sukar sejak mula bekerja. Saya hanya mampu menyewa rumah apartmen dengan harga RM1,100 sebulan di Taman Melawati sejak dua tahun lalu.
“Selain faktor lokasi bekerja agak jauh dari rumah, saya perlu mencari rumah sewa yang mengenakan sewa agak berpatutan kerana anggaran pendapatan isi rumah hanya RM5,000 sebulan.
“Walaupun menyewa, saya turut berdepan kenaikan sewa di mana penyewa menaikkan sewa hingga RM100 susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Ini antara faktor kami terpaksa menyewa berbanding memiliki rumah sendiri ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas Mohd. Badrul Hisham, dia berhasrat membeli rumah jenis bertanah (landed) di Nilai, Negeri Sembilan kerana melihat kedudukan lokasi agak strategik selain berdekatan dengan Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Saya berharap kerajaan dapat membina rumah mampu milik di lokasi strategik di pinggir bandar mahupun berdekatan dengan Lembah Klang. Di samping itu, harga rumah juga perlu sesuai dengan saiz rumah yang bakal dijual,” katanya.
Bagi Effah Amirah Sabri,30, pula dia terpaksa menyewa rumah kerana anggaran gaji dia dan suami di bawah RM5,000 menyukarkan mereka untuk mendapatkan rumah yang sesuai.
“Beberapa faktor menyebabkan saya dan suami mengambil peluang untuk menyewa rumah jenis apartmen sebanyak RM550 sebulan di Nilai. Kami belum beli rumah atas faktor kekerapan kenaikan OPR.
“Saya berharap kerajaan dapat memperbanyakkan lagi kuota untuk rumah mampu bilik dan rumah yang sesuai untuk golongan berkeluarga,” katanya penuh harap.
Sementara itu, bagi pekerja swasta, Nurliyana Norazman, 32, dia terpaksa menyewa sejak 2020 kerana sukar untuk membuat pinjaman membeli rumah disebabkan mempunyai komitmen lain yang tinggi.
“Saya mempunyai tiga orang anak yang kian membesar berusia lapan bulan hingga lima tahun. Jadi, kos bulanan yang agak tinggi menyukarkan saya dan suami untuk beli rumah. Lebih merisaukan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kenaikan harga rumah menyebabkan kami tidak dapat membeli rumah lagi,” jelasnya.
Nurliyana berharap kerajaan dapat membantu golongan sepertinya dengan mengawal harga rumah agar golongan berkeluarga berpendapatan sederhana dapat memiliki rumah.
“Disebabkan tidak mampu beli, saya ada berhasrat membina rumah sendiri di atas tanah milik bapa,” tambahnya.
Hafyka Jalaluddin, 33, pula berkongsi kisah dia yang mula menyewa sejak sembilan tahun lalu dek tidak mampu membeli rumah disebabkan harga yang semakin meningkat.
“Saya belum beli rumah kerana kewangan belum stabil dan harga rumah agak tinggi ketika ini. Saya berharap kerajaan dapat membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan B40,” katanya yang merupakan sumber utama kewangan keluarga.
Nur Hasanah Sofik, 33, pula memberitahu,dia menyewa rumah sebanyak RM1,200 sebulan disebabkan masih tidak mampu membeli rumah sendiri.
“Saya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan. Saya juga perlu membayar baki hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jadi, ia menyukarkan saya membeli rumah sendiri buat masa ini,” katanya.
Dia berharap kerajaan dapat menawarkan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan muda dan bujang.
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM2.47 bilion bagi melaksanakan projek perumahan rakyat untuk tahun depan. – UTUSAN