Weststar Aviation pertingkat penerbangan luar pesisir - Utusan Malaysia

Weststar Aviation pertingkat penerbangan luar pesisir

SYED Muhammad Azni Syed Azman (dua dari kiri, hadapan) menandatangani kontrak perkhidmatan pengangkutan bersama Naib Presiden Eksekutif bagi Australia Barat; Australia Utara dan Timor-Leste, Vince Santostefano disaksikan Syed Azman dan Tengku Zafrul dalam satu majlis rasmi di Dili, Timor-Leste. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILI, TIMOR-LESTE: Kepakaran syarikat penerbangan milik bumiputera, Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. sebagai peneraju global industri perkhidmatan helikopter luar pesisir, mendorong syarikat tenaga, Australia Santos Pty Ltd. memilih Weststar-GAP Aviation LDA menandatangani kontrak perkhidmatan pengangkutan AS$40 juta (RM175.6 juta).

Weststar-GAP merupakan anak syarikat usaha sama antara Timor-GAP dan Weststar Aviation menandatangani perjanjian kontrak sekali gus menyaksikan kerjasama trilateral antara Malaysia, Australia dan Timor-Leste.

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, ia sejajar dengan strategi jangka panjang Weststar-GAP dalam mengembangkan jejak langkah mereka di negara kepulauan, Timor-Leste dan rantau yang lebih luas.

“Perjanjian bersama Santos Ltd. merupakan langkah penting ke arah matlamat tersebut di tengah visi kami menubuhkan Weststar-GAP sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan luar pesisir terkemuka di Asia Tenggara.

“Kami merupakan pemain global dalam bidang ini dan sudah berada di 11 negara. Saya percaya, kerjasama ini menyerlahkan keupayaan kami sebagai syarikat penerbangan Malaysia bertaraf dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Weststar-GAP Aviation memperoleh kontrak perkhidmatan pengangkutan helikopter AS$40 juta menerusi pemeteraian perjanjian dengan Santos Ltd. di sini, baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Weststar, Syed Muhammad Azni Syed Azman menandatangani perjanjian itu bersama Naib Presiden Eksekutif bagi Australia Barat; Australia Utara dan Timor-Leste, Vince Santostefano, disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Hadir sama, Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste, Francisco da Costa Monteiro; Menteri Pengangkutan Miguel Marques Gonçalves Manetelu dan Presiden juga Ketua Pegawai Eksekutif Timor GAP, Rui Soares.

Weststar-GAP menyediakan perkhidmatan pengangkutan dua helikopter, Leonardo AW189 bagi menyokong operasi Santos Ltd. di wilayah Bayu-Undan, Timor-Leste.

Helikopter itu akan beroperasi di bawah pendaftaran pesawat Malaysia (9M) dengan mematuhi peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Perjanjian itu berkuat kuasa selama 12 bulan bermula 1 Februari lalu dengan pilihan dua lanjutan enam bulan.

Ia merangkumi perkhidmatan pertukaran kru dan pemindahan mangsa untuk tujuan perubatan atau penyembuhan ke Dili dan Darwin.

Mengulas lanjut, Syed Azman berkata, Weststar-GAP komited membangunkan bakat penerbangan Timor-Leste dengan melabur dalam program latihan untuk juruterbang, jurutera dan kakitangan tempatan bagi memastikan mereka memenuhi standard global seperti IOGP 690.

“Keupayaan kami untuk menyampaikan penyelesaian penerbangan bertaraf dunia yang sesuai dengan keperluan unik sektor minyak dan gas adalah bukti kecemerlangan operasi dan dedikasi kami terhadap keselamatan.

“Melalui program latihan komprehensif dan inisiatif peningkatan kemahiran, kami menyasarkan untuk memperkasa bakat tempatan,” katanya.

Sementara itu, kata Tengku Zafrul, pemeteraian perjanjian itu merupakan pencapaian penting ke arah memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Timor Leste.

“Saya optimis ini permulaan kepada usaha sama dalam bidang pelaburan dan perdagangan antara dua negara sekali gus mempamerkan potensi besar syarikat Malaysia meluaskan pelaburan dan perniagaan di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya