PEMAJU hartanah, Titijaya Land Berhad (Titijaya) menawarkan Fasa 2 Riveria City, The Ria, apartmen servis setinggi 63 tingkat dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM588 juta.
Terletak secara strategik berhampiran KL Sentral dan Stesen Monorel Tun Sambanthan, projek ini menawarkan kemudahan dan keterhubungan yang sangat baik, menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang mementingkan gaya hidup moden dan mobiliti yang mudah.
Pengarah Urusannya, Datuk Lim Poh Yit berkata, The Ria adalah sebahagian daripada pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) yang mengintegrasikan ruang runcit tepi sungai, suite pejabat moden dan apartmen servis mewah melibatkan tiga menara.
“Riveria City adalah hasil kerjasama antara Titijaya dan Prasarana Integrated Development Sdn. Bhd., dengan fokus untuk menawarkan ruang kediaman yang berkualiti tinggi dan menyokong visi bandar yang lebih mampan dan efisien.
“Riveria City juga terletak hanya satu stesen dari Merdeka 118 Mall, yang dijangka dibuka pada suku ketiga 2025.
“Projek dilancarkan pada Julai 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2028,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
The Ria menawarkan 752 unit dengan konfigurasi dua hingga tiga bilik tidur, dengan luas binaan unit antara 650 hingga 800 kaki persegi dengan harga permulaan daripada RM685,000 dan ke atas, menjadikannya pilihan yang berpatutan di lokasi premium.
Menurut Poh Yit, pihaknya menjangkakan kadar pengambilan untuk The Ria mencapai 100 peratus, seperti yang dicapai oleh The Riv, fasa pertama di Riveria City.
“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM374 juta, The Riv, yang terdiri daripada menara 54 tingkat dan 784 suite pejabat, berjaya mencapai pengambilan penuh,” katanya.
Selain itu, Poh Yit, sambutan pembeli terhadap The Ria sangat memberangsangkan dan terus meningkat.
“Faktor-faktor seperti lokasi strategik, akses mudah ke kemudahan penting, dan reka bentuk moden yang menjadi tarikan utama The Riv juga menjadi asas kejayaan The Ria, menjadikannya pilihan menarik untuk pembeli yang mencari pelaburan berkualiti dan bernilai jangka panjang,” katanya.
Tambah beliau, sasaran utama Titijaya untuk projek The Ria adalah untuk menjadikannya TOD yang berjaya dan ikonik di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur (CBD).
“Kami berhasrat untuk menawarkan kediaman moden yang menggabungkan kemudahan, keterhubungan, dan reka bentuk inovatif bagi memenuhi keperluan gaya hidup pembeli masa kini.
“Selain itu, kami menyasarkan kadar pengambilan 100 peratus untuk The Ria, sebagaimana yang telah dicapai oleh The Riv, fasa pertama di Riveria City.
“Dengan rekod kejayaan The Riv sebagai projek menara pejabat yang sepenuhnya diambil alih, kami yakin The Ria akan terus menarik minat pembeli yang menghargai lokasi strategik dan nilai jangka panjang,” katanya.
Selain itu, pihaknya juga berhasrat untuk menjadikan Riveria City termasuk The Ria, sebagai salah satu projek TOD yang paling berjaya di Malaysia, dengan fokus pada penyelesaian pembangunan yang mampan dan mesra alam.
Beliau turut menyasarkan pembeli untuk The Ria adalah semua golongan, terutamanya mereka yang mengutamakan kemudahan dan keterhubungan di Kuala Lumpur.
“Riveria City, termasuk The Ria, adalah projek berorientasikan transit (TOD) yang terletak secara strategik berhampiran KL Sentral, menjadikannya pilihan yang ideal bagi mereka yang mencari gaya hidup yang mudah dan serba lengkap,” katanya.
Terletak 100 meter dari Stesen Monorel Tun Sambanthan dan dalam jarak berjalan kaki ke hab pengangkutan KL Sentral, The Ria menawarkan akses mudah ke pelbagai kemudahan dan rangkaian rel utama.
Dalam jarak 300 meter, terdapat KL Sentral, hab transit terbesar di Malaysia yang menyokong enam rangkaian rel utama, termasuk KLIA Express Rail Link, KLIA Transit, RAPID KL (Putra), KTM Komuter, KTM Intercity dan Monorel KL.
Selain itu, hanya 500 meter dari The Ria, penduduk boleh berjalan kaki selama tujuh minit ke Kolej Brickfields Asia Kuala Lumpur (BAC 2). – UTUSAN