PETALING JAYA: Ladang Sari International Sdn. Bhd., pengeluar produk minuman botani di bawah jenama Rhymba Hills berhasrat memperkukuhkan lagi pasaran eksportnya di Jepun, United Kingdom (UK) dan Dubai.
Pengasasnya, Ciinndey Wong berkata, produknya yang telah mempunyai pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2018 itu telah menembusi pasaran tersebut sejak tahun lalu.
Katanya, pihaknya kini dalam proses untuk mendapatkan sokongan agensi kerajaan untuk menambah mesin baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi dan meningkatkan produknya di pasaran tempatan dan luar negara.
“Buat masa ini, kapasiti pengeluaran kami adalah sekitar satu tan sebulan. Jika kami mendapat mesin baharu hasil daripada kerjasama daripada agensi kerajaan untuk automasi dan inovasi, kami jangkakan kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan sehingga tiga kali ganda.
“Peningkatan kapasiti pengeluaran dapat mendorong usaha kami untuk memperkukuhkan jenama minuman botani kami ini yang menggunakan bahan mentah yang 100 peratus tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ciinndey berkata, pensijilan halal penting baginya terutamanya dalam usahanya untuk memperkukuhkan penembusan di pasaran eksport.
“Sijil halal daripada Jakim mendapat pengiktirafan dunia dan apabila orang luar tau produk dari Malaysia, mereka akan tahu bahawa produk itu berkualiti tinggi.
“Selain itu, pensijilan halal dapat membuka peluang pasaran yang lebih besar kerana lebih mudah untuk mengeksport produk kerana pasaran seperti UK dan Jepun banyak mahukan produk halal tetapi sukar didapati,” ujarnya.
Sementara itu, dia berkata, minuman botani Rhymba Hills yang dijual pada harga bermula dari RM16 sekotak boleh didapati di lebih 100 pasar raya dan kedai di seluruh negara.
Katanya, minuman tanpa kafein tersebut tidak dicampur dengan daun teh, sebaliknya menggunakan ramuan bahan-bahan botani seperti serai, daun pandan dan halia Bentong.
“Mementingkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kami juga menitikberatkan dari mana bahan mentah kami datang. Jadi, semua bahan mentah adalah dari dalam negara iaitu halia dari Bentong dan serai, daun pandan, misai kucing serta beberapa lagi dari pembekal kami dari negeri di utara.
“Selain itu, kami juga mengambil bahan mentah dalam kuantiti yang tidak begitu banyak dalam satu-satu masa bagi memastikan produk yang dihasilkan sentiasa segar,” ujarnya. – UTUSAN