JUMLAH warga emas di Malaysia semakin meningkat seterusnya menjadikan pusat penjagaan mereka kian mendapat perhatian.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada suku kedua 2024, warga emas kini merangkumi 11.6 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, bersamaan dengan 3.9 juta orang.
Menurut DOSM juga, populasi warga emas dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030, menjadikan Malaysia negara tua, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan berkualiti tinggi untuk warga emas.
Oleh itu, pusat penjagaan warga emas semakin menjadi keperluan penting dalam masyarakat.
Kerajaan, terutamanya pihak swasta kini turut memberi lebih perhatian bagi menyediakan pusat-pusat penjagaan warga emas dengan menyediakan perkhidmatan yang berkualiti serta mesra warga emas.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land, Nazri Tumin berkata, pihaknya juga sedang mengkaji secara strategik untuk menceburi pembangunan pusat jagaan warga emas sebagai sebahagian daripada pelan diversifikasi portfolio mereka.
“Kami melihat ini bukan sahaja sebagai peluang perniagaan yang mempunyai potensi tinggi, tetapi juga sebagai satu tanggungjawab sosial untuk menyediakan penyelesaian perumahan yang lestari dan bermakna kepada masyarakat.
“Namun, kami percaya bahawa pendekatan ini memerlukan perancangan mendalam, termasuk kerjasama dengan pakar kesihatan, institusi perubatan, dan rakan kongsi strategik untuk memastikan kualiti penjagaan yang optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nazri berkata, keputusan M K Land untuk menceburi sektor itu akan disokong oleh dasar dan perancangan yang kukuh.
“Ini kerana kami memahami ia adalah komitmen jangka panjang yang memerlukan pengurusan dan pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan hasil yang mampan untuk semua pihak berkepentingan.
“Kajian menyeluruh juga sedang dijalankan, melibatkan perkara seperti keperluan pasaran untuk memahami segmentasi warga emas di Malaysia, termasuk golongan berpendapatan rendah, sederhana, dan tinggi, serta dasar kerajaan.
Jelasnya, M K Land melihat potensi besar dalam pembangunan pusat jagaan warga emas di Malaysia, seiring dengan perubahan demografi yang menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan warga emas.
“Di peringkat global, model perumahan warga emas yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara seperti Jepun, Singapura dan Australia menjadi inspirasi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penjagaan Laman Khaira, Che’ Puan Intan Safinaz Redzuan Ranjit berkata, pusat jagaan warga emas kini semakin menjadi keperluan dan bukan sekadar pilihan untuk memastikan warga emas mendapat perhatian yang mereka perlukan.
“Jika pada zaman sebelum 90-an tanggungjawab menjaga keluarga seperti anak-anak serta ibu bapa diletakkan di bahu kaum wanita, namun kini, ia menjadi tanggungjawab bersama kerana keperluan menanggung ekonomi keluarga yang memerlukan kedua suami isteri keluar bekerja.
“Zaman sekarang, ramai anak-anak bekerja jauh, ada yang di luar negeri atau sibuk dengan komitmen kerjaya. Jadi, mereka mungkin tak mampu memberikan penjagaan yang diperlukan oleh ibu bapa, terutama dalam aspek pemantauan kesihatan.
“Jadi, pusat jagaan seperti Laman Khaira wujud untuk membantu, memberi penjagaan yang berkualiti dan memastikan warga emas menikmati hari-hari mereka dalam suasana yang selesa, selamat dan penuh kasih sayang.
“Ini adalah satu alternatif penjagaan kesihatan tetapi anak-anak masih perlu mengambil berat terhadap orang tua mereka di pusat jagaan warga emas,” katanya.
Beliau turut optimis bahawa permintaan terhadap pusat jagaan warga emas akan terus meningkat tahun ke tahun.
“Malaysia sedang menuju ke arah status negara menua, dan semakin ramai warga emas yang memerlukan penjagaan profesional.
“Pada masa yang sama, struktur keluarga moden juga semakin berubah, di mana ramai yang berkahwin lewat, mempunyai keluarga kecil dan menetap jauh dari ibu bapa.
“Jadi, permintaan terhadap pusat jagaan ini akan terus meningkat dan menjadi satu keperluan di masa akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Meaningfull Life, Anna Chew berkata, pihaknya juga telah berkerjasama Gamuda Land, melancarkan The Meaningfull Clubhouse di Quayside Plaza, kemudahan penjagaan warga emas yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Kami juga telah mengintegrasikan pakar penting dalam program ini, termasuk pakar diet, psikologi, dan fisioterapi. Fokus utama kami adalah penuaan sihat,” katanya. – UTUSAN