Harga perkhidmatan penyelenggaraan huluan dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Harga perkhidmatan penyelenggaraan huluan dijangka meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tinjauan Aktiviti Petronas (2025-2027) mengukuhkan pendirian kenaikan harga terhadap perkhidmatan penyelenggaraan huluan, kerana tahap aktiviti dijangka kekal tinggi pada 2025, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan berkata, ini berikutan rekod tahun pada 2024, namum aktiviti penggerudian dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dijangka berkurangan.

Katanya, walaupun permintaan sokongan luar pesisir (OSV) diunjurkan berkurangan sedikit pada 2025, pihaknya percaya kekangan bekalan kapal akan berterusan disebabkan oleh armada Malaysia yang semakin tua.

“Kami menjalankan kajian mendalam mengenai dua topik utama yang mendominasi perbincangan dalam komuniti pelaburan iaitu Tinjauan Aktiviti Petronas yang baru dikeluarkan (2025-2027) dan dasar tenaga Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Kedua-duanya akan memberi kesan ketara kepada sektor minyak dan gas tempatan untuk dua tahun akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kenanga berkata, penyahkawalseliaan Trump terhadap pengeluaran minyak di tanah persekutuan dijangka memacu pengeluaran minyak mentah AS yang lebih tinggi, walaupun secara beransur-ansur kerana pengeluar kekal dipacu pasaran.

“Selain itu, dasar Trump boleh mendorong Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Russia (OPEC+) untuk mempercepatkan peningkatan pengeluaran, walaupun ini boleh diimbangi oleh pendirian yang lebih ketat terhadap Iran, yang mungkin mengekang eksport minyaknya dan mengekalkan bekalan global terkawal.

“Pilihan utama kami kekal Petronas Chemicals Group Bhd dengan penarafan ‘outperform’ (OP) dengan harga sasaran RM5.47 dan Dayang Enterprise Holdings Bhd (OP; TP: RM3.80),” ujarnya.

Sementara itu, RHB Research berkata, sebahagian besar daripada Tinjauan Aktiviti Petronas (2025-2027) sejajar dengan jangkaannya.

“Pengurangan dalam aktiviti huluan berdasarkan kelembapan dalam perbelanjaan oleh Petronas berkemungkinan akan mendorong permintaan sokongan luar pesisir yang lebih rendah.

“Kami menjangkakan kelewatan projek fabrikasi luar pesisir, dengan peningkatan yang lebih ketara dalam aktiviti pemasangan saluran paip dan penyahtauliahan bermula dari 2026,” ujarnya.

RHB Research berkata, tinjauan itu memberi lebih kejelasan untuk pasaran minyak dan gas tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya