Hantar ibu bapa ke pusat jagaan bukan ‘si tanggang moden’ - Utusan Malaysia

Hantar ibu bapa ke pusat jagaan bukan ‘si tanggang moden’

WARGA emas yang dihantar ke pusat jagaan mendapat khidmat perubatan yang lebih teratur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN gaya hidup dan tuntutan kerjaya sering kali menyebabkan anak-anak menghadapi dilema dalam menjaga kebajikan ibu bapa mereka yang telah lanjut usia dalam era moden ini.

Kini, pusat penjagaan warga emas bukanlah tempat untuk membuang ibu bapa, tetapi sebuah pilihan bagi anak-anak yang ingin memastikan ibu bapa mereka mendapat penjagaan yang lebih sempurna, terutama ketika mereka sibuk bekerja.

Keinginan untuk memastikan ibu bapa mendapat penjagaan terbaik mendorong ramai dalam kalangan anak-anak untuk sanggup berbelanja lebih bagi menempatkan ibu bapa mereka di pusat jagaan warga emas yang selesa dan berkualiti.

Selain itu, kos bulanan bagi kemudahan ini juga bukanlah murah, membuktikan bahawa ia bukan keputusan yang diambil secara lepas tangan, tetapi demi kesejahteraan dan keselesaan warga emas.

Pekerja swasta, Muhammad Izzuddin Rosli berkata, keutamaan anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah warga emas adalah untuk memastikan keselesaan, keselamatan, dan kebajikan mereka terjaga.

“Jika pusat kebajikan warga emas mampu memberikan ketiga-tiga elemen ini dengan lebih baik, maka keputusan itu wajar dipertimbangkan.

“Tambahan pula, ibu bapa zaman sekarang semakin terbuka dan memahami rasional di sebalik keputusan tersebut. Malah, ada yang secara sukarela ingin tinggal di rumah warga emas, seperti ibu bapa saya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, stereotaip bahawa menghantar ibu bapa ke rumah warga emas adalah tanda anak derhaka atau malas menjaga mereka juga semakin pudar.

“Antara faktor yang menyumbang kepada perubahan persepsi ini ialah pendedahan melalui media sosial yang menunjukkan suasana dan kemudahan di rumah warga emas, membolehkan ibu bapa menilai sendiri.

“Selain itu, kebanyakan ibu bapa hari ini adalah pesara atau bekas pekerja yang pernah mengalami kesibukan dunia kerja. Mereka lebih memahami tuntutan kehidupan anak-anak dalam mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.

Sementara itu, pekerja sambilan, Hidayah Khairul Muzil berkata, pusat jagaan atau fasiliti untuk ibu bapa memang satu keperluan, dan tidak ada masalah jika jumlahnya ditambah.

“Lebih banyak fasiliti bermaksud lebih banyak kemudahan yang boleh membantu, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan terpencil.

“Jika kosnya melibatkan kebajikan terbaik yang boleh diberikan kepada ibu bapa, maka ia adalah satu perbelanjaan yang berbaloi,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang sibuk bekerja tetapi tetap risau tentang kebajikan ibu bapa, adanya pusat jagaan atau komuniti sokongan boleh mengurangkan beban fikiran.

“Secara peribadi, kebajikan mak ayah adalah salah satu faktor yang kadang-kadang membuatkan saya rasa berat untuk bekerja jauh. Bukanlah sampai tahap tak nak ambil peluang, tapi kalau perlu bekerja jauh, pasti ada rasa risau dan serba salah.

“Sebab itu, jika ada fasiliti atau komuniti yang boleh menyediakan penjagaan yang baik untuk ibu bapa, saya tidak kisah untuk berbelanja demi memastikan mereka dalam keadaan yang selesa dan terjaga,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Mohamad Ikram Hafizi Khirun Nizam berkata, tidak dinafikan bahawa ada sesetengah individu yang benar-benar memerlukan pusat jagaan warga emas, mungkin kerana tiada ahli keluarga yang boleh menjaga mereka atas faktor kerja, kesihatan atau halangan lain.

“Jadi, pusat seperti ini memang perlu ada, tetapi dengan bayaran bulanan yang lebih rendah supaya lebih ramai dapat mengakses perkhidmatan ini tanpa beban kewangan yang terlalu tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya