Graduan angkat perniagaan keluarga ke peringkat baharu - Utusan Malaysia

Graduan angkat perniagaan keluarga ke peringkat baharu

Fatin Atiqah (tengah), Fatin Adlina (tiga dari kiri) bersama pengurusan Ar Reizen Tour Services
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI usia yang masih muda, dua beradik, graduan Bacelor Komunikasi Korporat, Nur Fatin Atiqah Mohd Talha dan Bacelor Pendidikan Sukan, Nur Fatin Adlina Mohd Talha dari sebuah universiti awam, membuktikan kejayaan bukan sekadar impian tetapi hasil keberanian untuk mengambil tanggungjawab besar bagi membawa perniagaan keluarga ke peringkat baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Atadalta Management, Nur Fatin berkata, syarikat itu ditubuhkan pada 2019 oleh bapanya, Mohd Talha Masodi, bermula dengan perkhidmatan insurans dan acara kecil.

“Syarikat ini bermula daripada perkhidmatan asas yang dijalankan secara kecil-kecilan di rumah sahaja. Kami bermula dengan perancangan sederhana tetapi dengan visi besar.

“Kini, Altadalta Management berkembang pesat dan mempunyai dua anak syarikat, iaitu Atadalta Consultancy dan Ar Reizen Tour Services Sdn. Bhd., yang turut diuruskan oleh adik-beradik saya.

“Pada tahun ini, kami bersama pasukan telah merancang strategi besar dengan fokus pada pemasaran yang lebih agresif, membina jenama yang kukuh, serta memperkenalkan Ar Reizen Tour Services Sdn. Bhd. sebagai salah satu cabang utama syarikat.

“Kami mahu Ar Reizen Tour Services menjadi nama yang dipercayai dalam industri pelancongan dan perkhidmatan, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, perjalanan perniagaan itu tidak mudah, bermula dari operasi di rumah sehingga kini mempunyai pejabat sendiri di M Avenue, Segambut.

“Ini adalah bukti bahawa usaha keras bersama, keazaman, dan sokongan keluarga mampu menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Pejabat kami yang sederhana ini menjadi simbol usaha gigih kami,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Fatin mengakui tanggungjawab untuk menerajui perniagaan keluarga itu bukanlah tugas yang mudah.

“Walaupun mencabar, sokongan keluarga dan pengalaman saya dalam bidang komunikasi korporat memberikan keyakinan untuk terus maju.

“Saya berpegang pada misi untuk menjadikan Atadalta sebagai platform keluarga yang tidak hanya berorientasikan keuntungan tetapi juga mampu membantu komuniti,” katanya.

Mengulas mengenai individu yang menjadi tulang belakang kejayaannya, beliau menekankan penghargaan mendalam terhadap peranan besar bapanya dalam membangunkan perniagaan ini.

“Ayah saya adalah tulang belakang syarikat ini. Beliau bukan sahaja mentor tetapi juga sumber motivasi dan pelaburan terbesar kami. Tanpa beliau, kami tidak akan berada di tahap ini.

“Bagaimanapun, saya merasakan golongan muda tidak perlu takut mengambil peluang dalam perniagaan dan perlu sentiasa berani mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya percaya usaha yang konsisten dan nilai kekeluargaan yang kukuh adalah kunci untuk terus maju ke hadapan kerana tiada kejayaan tanpa cabaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya