Enam panduan tandas mesra warga emas di rumah - Utusan Malaysia

Enam panduan tandas mesra warga emas di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANDAS merupakan salah satu kawasan rumah yang paling berisiko untuk warga emas kerana permukaannya licin, ruangnya terhad, dan banyak pergerakan diperlukan.

Bagi memastikan tandas selamat dan mesra warga emas, pemilik perlu mengubahsuai mengikut keperluan golongan itu untuk mengurangkan risiko kemalangan serta memberi mereka lebih kebebasan dan keselesaan.

Oleh itu, minggu ini Utusan Malaysia berkongsi enam panduan untuk membantu pemilik rumah yang mempunyai warga emas bagi menyediakan dan memastikan tandas lebih selamat serta mesra golongan lanjut usia.

Gunakan penaik tandas untuk menyesuaikan ketinggian tandas duduk
Tandas duduk standard terlalu rendah, menyukarkan warga emas untuk duduk dan bangun, terutamanya bagi mereka yang mengalami sakit lutut atau sendi.

Oleh itu, dengan menggunakan penaik tandas (toilet seat riser) akan lebih memudahkan warga emas untuk duduk dan bangun.

Gunakan pencahayaan automatik dan jelas
Pencahayaan yang kurang terang boleh menyebabkan warga emas tersandung atau tersalah langkah.

Oleh itu, anda boleh menggunakan lampu automatik dengan sensor pergerakan yang menyala apabila seseorang masuk ke tandas. Ini bagi memastikan mereka mendapat pencahayaan tanpa perlu berusaha keras untuk menekan suis lampu.

Pasang ramp di pintu masuk
Warga emas yang menggunakan walker atau kerusi roda mungkin menghadapi kesukaran untuk masuk ke tandas jika terdapat ambang pintu tinggi atau tangga kecil.

Pemasangan ramp kecil di pintu masuk akan memudahkan akses bagi warga emas yang menggunakan alat bantuan berjalan atau kerusi roda.

Pastikan juga ramp mempunyai permukaan anti gelincir dan kecerunan yang sesuai untuk keselamatan.

Pemasangan grab bar (pemegang keselamatan)
Warga emas sering memerlukan sokongan tambahan untuk bergerak di dalam tandas, terutamanya ketika duduk atau berdiri.

Pemegang keselamatan itu boleh dipasang bersebelahan tandas untuk membantu duduk dan bangun, di dalam ruang mandi untuk berpaut semasa berdiri atau duduk dan berhampiran sinki untuk memberikan sokongan tambahan.

Pasangkan kerusi mandi atau wall-mounted seat
Warga emas mungkin menghadapi kesukaran untuk berdiri lama ketika mandi yang akan meningkatkan risiko tergelincir dan jatuh.

Pemasangan kerusi mandi tetap akan membolehkan mereka duduk dengan selesa dan selamat semasa mandi, namun perlu pastikan ia kukuh serta boleh menampung berat dengan selamat.

Pasangkan lantai anti gelincir
Tandas sering kali mudah menjadi licin jika terkena air ketika basah dan akan meningkatkan risiko tergelincir dan jatuh.

Dengan memasang lantai anti gelincir yang mempunyai cengkaman kuat di seluruh tandas, terutamanya di dalam ruang mandi dapat mengelakkan perkara ini terjadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya