Samza’s jangka jualan RM14j dalam masa lima tahun - Utusan Malaysia

Samza’s jangka jualan RM14j dalam masa lima tahun

norhazlina Sajali (kiri) dan Mohamed Zairul (kanan) mengasaskan SAMZ Holding pada 2015 dan kini dalam proses untuk membuka kilang keduanya di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMZ Holding Sdn. Bhd. pengeluar produk makan dan minuman (F&B) di bawah jenama Samza’s menyasarkan pertumbuhan jualan sehingga RM14 juta setahun dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong oleh pembukaan kilang baharu dan pelan pengembangan pasarannya.

Pengasasnya, Dr. Norhazlina Sajali, 41, berkata, syarikat yang baru membuka kilang keduanya di Johor pada hujung tahun ini dengan hasrat untuk memperkukuhkan pasaran eskport dan tempatan itu kini mempunyai nilai aset dan jualan sebanyak RM2 juta setahun.

Dia yang pernah berkhidmat dengan syarikat tenusu korporat terkemuka di negara ini memulakan perniagaannya pada 2015 dengan bermodalkan RM60 di garaj rumahnya sahaja.

“Pada mulanya, saya membuat sambal hijau atas jenama warisan Cik Enab. Tidak sangka permintaan amat menggalakkan dan pada 2016 pindah masuk ke premis di Kundang, Rawang Selangor.

“Seterusnya, kami mula memohon pensijilan halal pada awal 2017 dan tahun yang sama juga kami menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kemudian kami membuat penjenamaan semula dengan nama komersial Samza’s yang dikenali kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia yang mempunyai Ijazah Kejuruteraan Pemprosesan Makanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang lain berkata, memiliki pensijilan halal sentiasa berada dalam pelan perniagaannya sejak awal lagi kerana peluang yang luas melalui pengiktirafan tersebut.

Katanya, pensijilan halal membolehkan produk yang dikeluarkan untuk memasuki pasaran pasar raya yang menitikberatkan pensijilan tersebut.

“Pensijilan halal dapat memastikan produk yang kami keluarkan diiktiraf halal, berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan.

“Setelah memiliki pensijilan halal, kami telah memasuki beberapa pasar raya seperti Lotus’s, Aeon Big, Aeon, NSK Grocer, Tf Value Mart, Noko dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Tambahnya, perniagaan tersebut diusahakan dengan Pengasas Bersamanya, Dr. Mohamed Zairul.

Tambahnya, syarikat yang mempunyai 40 unit simpanan stok (SKU) melibatkan kira-kira 20 produk itu sudah pun memasuki pasaran eksport sejak 2021 termasuk membekalkan pes masakan untuk jemaah haji dan umrah.

“Selain itu, kami juga sudah memasuki pasaran Australia dan Dubai serta kami juga telah membuka pejabat di Indonesia bagi menembusi pasaran tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, kapasiti pengeluaran untuk semua produknya adalah kira-kira 10 tan sebulan.

“Antara produk yang kami keluarkan adalah sambal hijau, sambal garing bilis, sambal belacan, sambal penyet, sambal tumis serbaguna dan sebagainya.

“Selain itu, kami juga menyediakan minuman bersusu sebagai satu langkah mengembangkan lagi perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya