RYVERRA Chocolate & Confectionary Sdn. Bhd. bermula dengan langkah kecil di sebuah lot perniagaan di Menara MPPJ pada 2009, kini menjadi salah satu jenama tempatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Ryverra, Mohd Hanafiah Mohd Yunos berkata, dengan pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2011, produk Ryverra berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Arab Saudi, Singapura, Korea, Maldives, dan Laos.
“Di dalam negara pula, coklat Ryverra boleh didapati di pasar raya terkenal seperti Mydin, Lulu Hypermarket, dan Aeon serta di stesen minyak seperti Petronas dan Shell,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, beliau melihat potensi besar dalam perniagaan coklat tempatan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.
“Saya dan pengasas bersama Muzairi Daud dan Sharil Omar memulakan Ryverra Chocolate dengan modal yang terhad tetapi dengan mempunyai cita-cita besar.
“Kami memulakan operasi kecil-kecilan sambil menguruskan sebuah kiosk di Ampang. Namun, cabaran kewangan dan pemasaran tidak mematahkan semangat mereka.
“Saya ingin membuktikan bahawa coklat buatan Malaysia juga mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Hanafiah berkata, kini, Ryverra mengeluarkan lebih daripada 90 unit simpanan stok (SKU) produk coklat di bawah empat jenama utama iaitu Ryverra, Estana, Qidoz, dan Reevo.
“Ryverra juga sekarang telah mempunyai produk terbaharu iaitu ‘Coklat Kunafah Pistachio’ dan Estana Tiramisu Green Tea untuk menambah variasi kepada rangkaian coklat yang sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi, beliau tidak pernah beranggapan bahawa cabaran sebagai sebuah halangan, tetapi sebagai peluang untuk belajar dan berkembang.
“Namun, antara cabaran terbesar adalah kekurangan tenaga kerja yang berdedikasi dan mencari kaedah pemasaran yang berkesan. Tetapi, saya yakin dengan keazaman yang kukuh akan membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi.
“Sebagai contoh, Ryverra kini beroperasi di kilang sendiri di MARA Halal Industrial Park, Batu Caves hasil sokongan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Dengan kapasiti pengeluaran yang tinggi, kami mampu menghasilkan sehingga 100,000 unit produk setiap bulan, menjana jualan antara RM400,000 hingga RM450,000,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata dengan keupayaan memenuhi permintaan Pengilang Peralatan Asal (OEM) dan rakan niaga, Ryverra terus berkembang tanpa bergantung kepada sistem ejen atau stokis.
“Matlamat kami adalah untuk mengangkat jenama Malaysia di mata dunia sambil membantu usahawan lain memasarkan produk mereka melalui galeri coklat kami,” ujarnya. – UTUSAN