TAHUN 2025 dijangka akan melihat pertumbuhan dalam pembangunan dan transaksi hartanah berikutan peningkatan keperluan kepada rumah dan peningkatan kadar sewa yang menyamai pembayaran ansuran bulanan bagi sebahagian jenis rumah.
Selain itu, infrastruktur awam dan insentif dari kerajaan serta fleksibiliti pembiayaan perumahan di mana ada kos kos sampingan yang dimasukkan dalam jumlah pembiayaan yang diluluskan juga akan menyumbang kepada pertumbuhan transaksi ini.
Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, kerajaan dan pemaju swasta dijangka lebih memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan mampu milik untuk memenuhi permintaan golongan muda dan mereka yang berpendapatan rendah hingga pertengahan.
Katanya, ini termasuk rumah kos rendah, rumah teres dan rumah pangsa di luar kawasan bandar utama.
“Hasrat untuk merumahkan rakyat akan memerlukan usaha bersepadu dalam kalangan pemain industri. Selain itu, ini perlu juga mendapat sokongan daripada bank sebagai pembiaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, tumpuan pemaju kepada rumah mampu milik dijangka akan terus meningkat, terutamanya untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Ia mungkin boleh dikatakan sebagai produk mudah jual. Bagaimanapun, cabaran terbesar adalah mengekalkan harga yang mampu milik tanpa mengorbankan kualiti.
“Pada 2025, pemaju mungkin akan lebih fokus kepada mengecilkan saiz rumah untuk mengekalkan harga pada tahap yang mampu milik.
“Walaupun harga rumah mampu milik dijangka sedikit meningkat disebabkan oleh kos pembinaan yang lebih tinggi, saiz unit mungkin akan diperkecilkan bagi mengekalkan daya saing dalam pasaran,” ujarnya.
Nazri berkata, kenaikan harga hartanah pada 2025 mungkin berlaku, tetapi ia dijangka lebih sederhana, sekitar tiga hingga lima peratus berbanding lonjakan mendadak, terutamanya di kawasan-kawasan yang permintaannya meningkat.
Jelasnya, ini seiring pembinaan infrastruktur baharu atau perubahan demografi.
“Seperti biasa ,sebahagian daripada kenaikan ini juga mungkin disebabkan oleh kos pembinaan yang lebih tinggi akibat kenaikan harga bahan mentah dan tenaga kerja serta inflasi,” jelasnya.
Beliau berkata, pemaju perlu lebih peka terhadap keperluan pasaran dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam cara kerja, lokasi dan bentuk pembangunan.
“Pembinaan yang berkualiti serta kurangnya masalah kecacatan pembinaan menjadi tagihan pembeli.
“Pemaju yang bertanggungjawab dan pembinaan yang siap dalam tempoh yang sepatutnya dialu-alukan oleh pembeli,” katanya.
Mengulas mengenai sektor komersial pula, beliau berkata, sektor komersial pula khususnya pejabat dan pusat membeli-belah akan terus berkembang.
Bagaimanapun, beliau berkata, pertumbuhan ini mungkin dalam kadar yang lebih fleksibel dan berorientasikan teknologi, seperti pejabat kecil dan ruang kerja bersama (co-working spaces).
“Dalam pada itu, pembangunan logistik dan gudang akan meningkat seiring dengan trend e-dagang yang terus berkembang,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pasaran hartanah sudah mula memulih dan pelaburan dalam sektor ini dijangka meningkat sebanyak 20 peratus pada 2025.
Katanya, pasaran hartanah dijangka terus meningkat dan memuncak pada 2026 sejajar dengan pusingan ekonomi.
“Harga hartanah pula dijangka meningkat tetapi pada kadar yang lebih sederhana dan secara beransur-ansur.
“Dari segi permintaan pula, rumah mampu milik akan terus meningkat permintaannya. Bagaimanapun, definisi rumah mampu milik juga sudah berubah iaitu rumah bernilai RM500,000 pun sudah dikira mampu milik sedangkan mengikut kemampuan isi rumah adalah rumah bernilai RM200,000,” ujarnya. – UTUSAN