Pes Laksa Utara Kuala Perlis fokus dapatkan pensijilan halal - Utusan Malaysia

Pes Laksa Utara Kuala Perlis fokus dapatkan pensijilan halal

WAN Shariman Wan Ali menunjukkan Pes Laksa Utara Kuala Perlis yang kini semakin dikenali. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Biarpun baru sahaja menapak dalam pasaran tempatan, Pes Laksa Utara Kuala Perlis kini semakin dikenali dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan seluruh negara.

Dianggarkan pada setiap bulan, sekitar 2,000 hingga 3,000 Pes Laksa Kuala Perlis dapat dipasarkan malah, jumlah itu meningkat kepada 5,000 pek menjelang bulan Ramadan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas Pes Laksa Utara Kuala Perlis, Wan Shariman Wan Ali, 57, berkata, susulan perkembangan positif itu, pihaknya merancang melangkah setapak ke hadapan dengan memberi fokus untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun ini.

“Permohonan bagi mendapatkan pensijilan halal ini adalah bertujuan bagi memenuhi keperluan masyarakat khususnya beragama Islam di samping memberikan jaminan kualiti buat pelanggan.

“Kita dalam proses permohonan pada tahun ini kerana ingin memberikan jaminan kualiti terbaik dengan penggunaan bahan-bahan yang diyakini,” katanya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Shariman berkata, permohonan pensijilan halal itu adalah penting bagi membolehkan pihaknya mengembangkan pasaran ke luar negara susulan terdapat permintaan antaranya dari Singapura, Australia dan Brunei.

Kata­nya, buat masa ini, pihaknya turut membekalkan pes berkenaan kepada beberapa pengusaha laksa selain memasarkannya secara dalam talian dan menerusi jualan ­kiosk.

“Setakat ini, permintaan terhadap pes laksa ini begitu memberangsangkan dan kita cuba mengukuhkan lagi produk dalam memperkenalkan makanan tradisi negeri ini kepada masyarakat selaras penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs),” katanya.

Dalam pada itu, Wan Shariman berkata, produk berke­naan juga telah ditambah baik di mana ia kini mampu bertahan untuk tempoh setahun berbanding hanya dua bulan sebelum ini.

Katanya, pes itu juga boleh disimpan di dalam suhu bilik sekali gus memudahkan pengguna membawanya ke mana-mana.

“Kita lakukan banyak penambahbaikan terhadap produk ini dan fokus pada tahun ini adalah untuk mengukuhkan lagi pasarannya ke seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya