PETALING JAYA: Pendapatan Bursa Malaysia bagi suku keempat tahun kewangan 2024 dijangka lebih lemah berikutan aktiviti dagangan yang semakin berkurangan akibat ketidakpastian ekonomi dan geopolitik global, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, Bursa Malaysia dijangka menghadapi cabaran dalam suku keempat 2024 apabila purata nilai dagangan harian (ADV) dijangka menurun kepada RM2.5 bilion daripada RM3.8 bilion dalam suku ketiga 2024.
“Ketidakpastian yang timbul daripada pilihan raya Amerika Syarikat yang akan datang dan ketegangan geopolitik di Asia Barat diunjurkan akan menekan aktiviti dagangan.
“Oleh itu, CIMB Securities menganggarkan Bursa Malaysia mungkin hanya mencatat keuntungan bersih sebanyak RM65 juta dalam suku terakhir, iaitu penurunan 24.1 peratus berbanding suku sebelumnya,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Jelasnya, sebelum ini pada suku ketiga 2024, Bursa mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 41.9 peratus tahun ke tahun kepada RM85.7 juta.
“Pertumbuhan ini disumbang oleh peningkatan 53.5 peratus dalam pendapatan pasaran sekuriti dan 25.5 peratus dalam pendapatan pasaran derivatif, serta kenaikan 15.3 peratus dalam pendapatan segmen bukan perdagangan.
“Ini membawa kepada lonjakan keuntungan operasi (EBIT) sebanyak 44.1 peratus. Keuntungan bersih teras untuk tempoh sembilan bulan pertama 2024 melonjak 45.7 peratus kepada RM241.2 juta, melebihi jangkaan CIMB Securities sebanyak 85 peratus daripada sasaran tahunan.
“Ia adalah tanpa mengambil kira pembalikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekali sahaja sebanyak RM27.3 juta pada tahun lalu,” katanya.
Cimb Securities berkata, bagi pendapatan daripada segmen bukan perdagangan, merangkumi perkhidmatan depository dan perniagaan data juga mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 11.8 peratus tahun ke tahun, melebihi sasaran Bursa Malaysia sebanyak lima peratus hingga tujuh peratus.
“Pertumbuhan ini disumbang oleh peningkatan 17.1 peratus dalam perkhidmatan depository dan 16.3 peratus dalam pendapatan perniagaan data.
“Jadi, menurut kami, peningkatan pendapatan perniagaan data ini berpunca daripada pertambahan pelanggan dan pelarasan yuran langganan sejak suku ketiga 2023,” katanya.
Dalam taklimat hasil suku ketiga 2024, Bursa Malaysia menyoroti beberapa faktor yang mungkin mempengaruhi sentimen pelabur.
“Pertama, cukai dividen sebanyak dua peratus yang dikenakan kepada pelabur dengan pendapatan dividen melebihi RM100,000 mungkin mengurangkan minat pelabur bernilai tinggi terhadap saham yang menawarkan hasil dividen tinggi.
“Selain itu, Bursa Malaysia menafikan adanya rancangan untuk mengenakan syarat ekuiti bumiputera bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.
“Bursa Malaysia juga sedang mempertimbangkan program peningkatan nilai syarikat tersenarai, yang menyerupai inisiatif di Jepun dan Korea Selatan, dengan sasaran meningkatkan nisbah harga perolehan (P/E), pulangan ke atas ekuiti (ROE), dan jumlah saham apungan.
“Bursa sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti untuk membangunkan beberapa peraturan mengenai syarikat yang kurang berprestasi. Bagaimanapun, Bursa Malaysia menyatakan bahawa tiada apa-apa yang telah dimuktamadkan, dan parameter khusus masih dalam pertimbangan,” katanya.
Dalam pada itu, CIMB Securities turut menaikkan ramalan pendapatan bagi tahun kewangan 2024, 2025 dan 2026 masing-masing sebanyak 7.8 peratus, 4.0 peratus dan 3.2 peratus, susulan prestasi yang menggalakkan.
“Sasaran harga berasaskan aliran tunai diskaun (DCF) juga dinaikkan sebanyak lima peratus kepada RM9.53, berbanding harga terkini sekitar RM9.03.
“CIMB mengekalkan penilaian ‘pegang’ terhadap Bursa Malaysia, kerana dijangka pertumbuhan keuntungan akan mendatar antara 0.4 peratus hingga 1.8 peratus pada 2025 hingga 2026,” katanya. – UTUSAN