PETALING JAYA: MIDF Amanah Investment Bank Berhad kekal positif dalam sektor perbankan pada tahun ini, berikutan menjangkakan pendapatan akan terus disokong teguh oleh pertumbuhan pinjaman kasar yang kukuh dan kualiti aset yang stabil.
Bank pelaburan berkata, pihaknya percaya prospek dividen tahun kalendar 2025 kekal sangat cerah.
Katanya, pihaknya menjangkakan jangkaan dividen dan ciri defensif bank ini akan menjadi proposisi utama bagi bank dalam 2025 memandangkan kemungkinan pasaran kekal tidak menentu.
“Dengan beberapa bank terus mengekalkan hasratnya untuk meningkatkan pembayaran dividen dan lebih banyak bank menawarkan dividen tunai penuh (tanda bank gembira dengan pembinaan modalnya), kami percaya prospek dividen 2025 kekal sangat cerah.
“Ini ditambah pula dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan,” katanya dalam nota penyelidikan.
MIDF berkata, statistik perbankan setakat November 2024 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menyaksikan pinjaman sistem perbankan meningkat 5.8 peratus tahun ke tahun kepada RM2.23 trilion.
Katanya, ini adalah penurunan sedikit daripada pertumbuhan 6.0 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Bagaimanapun, semua segmen menyaksikan pertumbuhan pinjaman yang teguh, dengan runcit pada naik 7.1 peratus tahun ke tahun (Oktober 2024: 7.2 peratus), perniagaan pada 4.4 peratus (Oktober 2024: 4.6 peratus) dan perusahan kecil dan sederhana (PKS) pada 8.7 peratus ( Oktober 2024: 8.8 peratus).
“Kami menjangkakan bahawa pinjaman sistem perbankan akan berakhir hampir dengan ramalan kami iaitu pertumbuhan 6.0 peratus untuk 2024.
“Sementara itu, jumlah deposit pada November 2024 meningkat 5.2 peratus kepada RM2.54 trilion dengan akaun semasa, akaun simpanan (CASA) mendahului pertumbuhan pada 5.2 peratus,” ujarnya.
Bank pelaburan berkata, simpanan tetap (FD) berkembang 3.7 peratus tahun ke tahun, menunjukkan persaingan deposit mungkin agak sederhana tahun ini.
MIDF memberitahu, prestasi pendapatan sektor perbankan berkait rapat dengan prestasi ekonomi, sebagai tulang belakangnya.
“Aktiviti ekonomi mewujudkan permintaan untuk perkhidmatan kewangan seperti pinjaman produktif untuk perniagaan, pinjaman konsumtif dan deposit transaksi.
“Pasukan ekonomi kami mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk terus berkembang, walaupun pada tahap yang lebih normal pada 4.6 peratus tahun ini,” jelasnya.
Secara umumnya, MIDF menjangkakan pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) akan kekal teguh disebabkan oleh margin faedah bersih (NIM) yang stabil dan pertumbuhan pinjaman yang kukuh.
Selain itu, bank pelaburan juga mengunjurkan normalisasi pertumbuhan pendapatan bukan faedah (NOII), perbelanjaan operasi (OPEX) pada tahap yang lebih terkawal untuk akan datang dan kualiti aset untuk terus bertambah baik tanpa tekanan dijangka.
“Untuk 2025, kami menjangkakan pendapatan bank di bawah kajian kami meningkat sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun.
“Pilihan teratas ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank) dengan saranan beli pada harga sasaran (TP) RM12.11 kerana hasil dividennya yang cemerlang, Public Bank (beli, TP: RM5.16) dan Hong Leong Bank (beli, TP: RM22.76) untuk kualiti aset yang kukuh dan tumpuan domestik,” katanya. – UTUSAN