MAH Sing Group Berhad (Mah Sing) menawarkan projek kediaman berkonsep gaya hidup yang menampilkan dua blok kediaman servis, M Aspira.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM850 juta, projek itu menawarkan unit kediaman dengan keluasan antara 706 kaki persegi hingga 1,006 kaki persegi pada harga bermula daripada RM452,000.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Datuk Seri Leong Hoy Kum, berkata projek itu adalah trajektori pertumbuhan strategik syarikat.
“M Aspira adalah pembelian tanah ketiga kami pada 2024 dan lokasinya yang strategik di Taman Desa menawarkan pembeli rumah akses kepada kawasan kejiranan yang mampan, pelbagai kemudahan dan sambungan jalan yang sangat baik,” katanya dalam kenyataan.
M Aspira yang bakal siap pada 2029 itu menawarkan pembeli rumah lokasi utama dengan infrastruktur yang kukuh dan aksesibiliti yang cemerlang.
Mah Sing juga menyasarkan profesional yang bekerja, pelabur muda, keluarga kecil dan kumpulan pendapatan M40 merujuk kepada golongan sasaran utama untuk projek pembangunan seperti M Aspira di Taman Desa.
M Aspira adalah pembangunan kediaman yang berfokuskan gaya hidup di atas tanah seluas 3.7 ekar, yang menampilkan dua blok kediaman perkhidmatan.
Kediaman itu menawarkan unit dua bilik tidur, tiga bilik tidur, dan empat bilik tidur dengan saiz dari 706 kaki persegi hingga 1,006 kaki persegi, dengan harga bermula dari RM452,000 yang sangat mampu milik.
Jelas Hoy Kum, sejak 2023, pihaknya telah memperoleh sejumlah sembilan parcel tanah, termasuk empat pada 2024.
“M Aspira terletak di tempat yang sangat sesuai untuk pembeli rumah, menawarkan lokasi utama dalam kawasan kejiranan yang sudah kukuh, kemudahan yang banyak, infrastruktur yang siap, dan akses mudah ke pelbagai bahagian bandar dan pinggir bandar.
“Mah Sing komited untuk meningkatkan bukan sahaja nilai pembelian pelanggan kami, tetapi juga kualiti hidup untuk komuniti sekeliling,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya gembira dapat berkembang lebih lanjut dengan usaha strategik seperti pengambilalihan tanah perindustrian di Sepang untuk MSS Business Park dan kemasukan kami ke dalam pasaran data centre dengan Mah Sing DC Hub@Southville City.
“Pembangunan ini terletak strategik dalam sebuah kawasan bandar yang matang dan mudah dihubungkan dengan pelbagai jalan utama, menjadikan aksesibiliti sangat mudah yang dikelilingi oleh pelbagai kemudahan termasuk pusat perubatan (KMI Taman Desa Medical Centre, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa dan SMK Desa Perdana.
“Ia mempunyai akses mudah ke pelbagai kemudahan, termasuk pusat membeli-belah, MidValley Megamall, The Gardens Mall, KL Eco City, Bangsar Village 1 dan 2, Bangsar Shopping Centre, Nu Sentral, Publika, Suria KLCC dan Pavilion Kuala Lumpur serta akses pengangkutan awam seperti KTM Salak Selatan, Transit Aliran Ringan (LRT) Salak Selatan dan Terminal Bersepadu Selatan), serta bank, pasar raya dan restoran,” katanya.
Terletak di titik pusat bandar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, penduduk akan menikmati kemudahan bekerja berhampiran rumah, mengelakkan perjalanan jauh dan kesesakan lalu lintas. – UTUSAN