Kenaikan gaji punca kos sara hidup 2025 tinggi?

Kenaikan gaji punca kos sara hidup 2025 tinggi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN gaji minimum dan pelarasan gaji yang diumumkan Menteri Kewangan dan Perdana Men­­teri, Datuk Seri An­war Ibrahim dalam Belanja­wan 2025 tahun lalu memberi na­fas lega buat pekerja swasta dan penjawat awam yang pastinya menantikan berita gembira itu sejak sekian lama.

Sebanyak 657,900 daripada 14.9 juta pekerja swasta bakal menikmati kenaikan gaji berikutan pelaksanaan gaji minimum baharu itu.

Tidak terkecuali, penjawat awam juga telah menerima kenaikan gaji secara berfasa menerusi pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selepas 12 tahun tanpa semakan.

Dengan pelarasan gaji dan pergerakan tahunan, pendapatan penjawat awam dijangka meningkat dalam julat 16.8 peratus hingga 42.7 peratus.

Bagaimanapun, pada tahun ini juga, jangkaan peningkatan kos sara hidup menjadi cabaran utama yang dihadapi oleh rakyat. Menjadi persoalan, adakah kenaikan gaji tahun ini membuka ruang kos sara hidup meningkat secara tidak langsung?

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, kos sara hidup pada 2025 dijangka lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana beberapa faktor utama.

“Penghapusan subsidi RON95 akan meningkatkan kos pengangkutan, yang seterusnya memberi kesan rantaian kepada harga barang keperluan. Potensi kenaikan tarif elektrik pula akan menambah beban kepada pengguna dan perniagaan.

“Kos insurans kesihatan semakin meningkat juga akan memberi kesan langsung kepada perbelanjaan isi rumah, terutamanya bagi mereka yang bergantung kepada rawatan swasta. Harga rumah yang terus meningkat juga menjadikan pemilikan rumah semakin sukar dicapai oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Semua ini akan menyebabkan perbelanjaan untuk keperluan asas semakin terjejas, dan golongan B40 terutamanya akan memerlukan sokongan kerajaan untuk terus bertahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, kenaikan gaji adalah langkah positif, tetapi perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

“Sekiranya tidak disertai dengan produktiviti yang lebih baik atau dasar yang menyokong kestabilan harga, ia boleh menyumbang kepada inflasi.

“Justeru, dengan potensi penghapusan subsidi RON95, kenaikan tarif tenaga, peningkatan kos insurans kesihatan, serta kenaikan harga rumah, kos sara hidup rakyat dijangka meningkat dengan ketara.

“Ini akan memberi tekanan besar kepada rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40, yang sudah pun berdepan dengan bajet isi rumah yang semakin sempit,” katanya.

Rentetan itu, Saravanan berkata, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan.

“Pertama, pelaksanaan sistem subsidi bersasar seperti Sistem PADU harus dipercepatkan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Selain tu, kawalan harga yang lebih ketat perlu dilaksanakan terhadap barang keperluan asas seperti makanan, tenaga, dan bahan api untuk meminimumkan kesan kenaikan harga.

“Selain itu, semakan gaji minimum secara berkala harus dibuat berdasarkan data kos sara hidup yang terkini, dan polisi untuk meningkatkan kebolehupayaan tenaga kerja melalui latihan dan pendidikan perlu diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Kenaikan gaji, khususnya di Malaysia pada masa ini, bertujuan untuk menyesuaikan pelarasan gaji agar dapat menangani peratusan kenaikan gaji yang lebih perlahan berbanding peningkatan kos sara hidup.

“Kuasa beli pengguna akan merosot jika situasi ini berterusan bertahun-tahun. Jelas gaji purata pekerja di Malaysia jauh ketinggalan dengan negara-negara Harimau Asia satu masa dahulu di mana kita pernah sebaris pada 1990-an.

“Bukan sahaja dari segi perbandingan gaji yang rendah tetapi juga nilai mata wang yang lemah memberikan kesan gandaan dalam mengecilkan kuasa beli rakyat Malaysia.

“Kegagalan kita (negara) membangunkan industri makanan tempatan dan bergantung kepada barangan import, terutamanya pemberian permit import (AP) kepada pihak-pihak tertentu selama beberapa dekad telah membuatkan kita terlalu bergantung kepada makanan yang diimport dari luar, iaitu lebih RM70 billion setahun dan terus meningkat,” katanya.

Tambahnya, polisi gaji minimum perlu dinilai semula bagi memastikan ia kekal relevan dalam konteks kos sara hidup yang terus meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya