RUMAH berbilang generasi adalah mana-mana rumah yang boleh memuatkan bilangan orang dalam keluarga dengan selesa.
Biasanya, ia melibatkan pasangan suami isteri, anak mereka dan juga ibu bapa pasangan tersebut.
Dengan kos yang semakin meningkat ketika ini, tinggal bersama ibu bapa dilihat sebagai satu pilihan yang baik bagi menjimatkan kos serta dapat tinggal dengan lebih dekat dengan ahli keluarga.
Sejak kebelakangan ini, pemaju telah mula mereka bentuk rumah berbilang generasi secara khusus supaya ia sesuai untuk tujuan itu seperti bilangan bilik yang lebih banyak serta rumah jenis dwi kunci.
Pada minggu ini, Ringgit akan berkongsi kebaikan dan keburukan tinggal di rumah berbilang generasi yang mungkin dapat membantu anda untuk membeli rumah idaman pada masa depan.
KEBAIKAN
Penjimatan Kos
Tinggal bersama ibu bapa dapat menjimatkan kos dari segi sewa rumah, bil utiliti serta perbelanjaan harian kerana boleh dikongsi bersama berbanding tinggal atau menyewa di rumah yang berbeza.
Selain itu, nenek dan datuk boleh membantu untuk menjaga cucu mereka, sekali gus dapat memberi penjimatan dari segi pengasuh untuk anak-anak.
Kongsi Tanggungjawab Bersama
Kerja rumah dapat dilakukan bersama dengan ahli keluarga yang lain, mengurangkan beban satu pihak atau pasangan untuk melaksanakan semuanya.
Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membantu pasangan mengambil anak mereka dari sekolah atau pun masak makanan apabila anak dan menantu pulang dari kerja.
Selain itu, pasangan pula boleh membantu ibu bapa membuat kerja rumah mop lantai, mencuci baju dan sebagainya.
Mengeratkan Hubungan Keluarga
Tinggal bersama secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan terutamanya apabila generasi terdahulu sudah meningkat usia.
Anak-anak dapat membantu ibu bapa dalam urusan di rumah, di samping dapat menghabiskan sisa hidup mereka dengan keluarga tersayang.
Hubungan ini juga dapat dirapatkan lagi dengan kehadiran cucu, menjadikan sokongan keluarga yang lebih kukuh bagi membentuk keluarga harmoni dan bahagia.
KEBURUKAN
Kurang Privasi
Antara kekurangan yang paling utama apabila tinggal di rumah berbilang generasi adalah kurang privasi antara satu sama lain.
Jika, rumah yang diduduki mempunyai ruang yang lebih besar atau mempunyai pintu masuk yang berlainan seperti dwi kunci, perkara ini mungkin tidak menjadi masalah.
Kekurangan privasi mungkin boleh mengganggu atau mewujudkan ketegangan.
Konflik Keluarga
Tinggal di bawah satu bumbung mungkin mendorong kepada konflik daripada perbezaan pendapat atau sebagainya.
Sesuatu keputusan mengenai isi rumah tersebut perlu mengambil kira pendapatan semua yang tinggal di dalam rumah itu supaya tidak ada rasa tidak puas hati. – UTUSAN