PETALING JAYA: Jumlah penumpang dalam sistem lapangan terbang akan meningkat sebanyak 11 peratus kepada 146 juta pada tahun 2025, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan berkata, pihaknya optimis terhadap pemulihan semula jumlah penumpang dan hubungan yang dijangka dipacu oleh pengenalan syarikat penerbangan dan perkhidmatan baharu di lapangan terbang utama, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Penang, Kota Kinabalu dan Langkawi.
“Bermulanya syarikat penerbangan baharu termasuk Air India ke Delhi, kekerapan sekali seminggu dari 9 Air ke Guiyang dan Lucky Air dengan kekerapan mingguan ke Lijiang City, menyumbang kepada pertumbuhan pergerakan penumpang antarabangsa dari China dan India.
“Pergerakan penumpang antarabangsa turut disokong oleh operasi baharu AirAsia dari KLIA ke Labuan Bajo dan Lucknow, sementara Malaysia Airlines telah memulakan penerbangan harian ke Da Nang,” katanya dalam nota penyelidikan.
Kenanga berkata, kedudukan Lapangan Terbang Subang yang berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur akan mengurangkan masa perjalanan turut memberi manfaat kepada pengembara perniagaan dan pelancong.
“Selain itu, sambungan kereta api yang diaktifkan semula antara Subang dan Kuala Lumpur akan memastikan pemindahan yang lancar, memudahkan penumpang bergerak antara bandar dan lapangan terbang,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, rancangan regularisasi Capital A untuk keluar dari status PN17 masih dalam perancangan.
“Cadangan untuk melupuskan perniagaan penerbangan mereka telah mendapat kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada pertengahan Oktober.
“Kumpulan ini kini berada di peringkat akhir di mana mereka perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam cadangan tersebut, sambil menunggu kelulusan daripada Mahkamah Tinggi.
“Kumpulan ini menyasarkan untuk menyelesaikan pelupusan perniagaan penerbangan menjelang Januari 2025 dan keluar dari status PN17 menjelang suku pertama 2025, tertakluk kepada pengecualian dan kelulusan yang diperlukan daripada Bursa Malaysia dan pihak berkuasa pengawalseliaan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Kenanga berkata, bagi memanfaatkan permintaan yang kukuh, kumpulan ini kini mengutamakan pengembangan kapasiti dan rangkaiannya secara aktif bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Kumpulan ini menegaskan bahawa pemulihan jumlah penumpang semakin mendapat momentum dan menjangkakan pemulihan kepada 84 peratus daripada kapasiti pra Covid-19.
“Pada suku keempat 2024, kumpulan ini akan memperluas pesawatnya dengan pengenalan empat pesawat A321neo baharu di Malaysia dan satu di Thailand, menjadikan jumlah pesawat aktif kepada 205 daripada 224. – UTUSAN