PETALING JAYA: Syarikat produk makanan, Lamira Kitchen menerima peningkatan jualan sebanyak 90 peratus selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) pada Januari 2024.
Pemilik bersama syarikat, Nurul Amirah Yahya, 26 berkata, pensijian halal penting bagi memastikan pelanggan tidak khuatir dan was-was dengan produk daging salai keluaran syarikatnya di Kampung Serting Ulu, Jempol, Negeri Sembilan.
‘Pembeli selalu bertanya jenis dan daging mentah diambil dari mana. Bagaimanapun, selepas diberitahu produk salai kami mempunyai halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mereka terus membeli dan tidak risau mengenai soal daging.
“Kini, pelanggan lebih mudah dan yakin dengan produk salai keluaran kami. Jualan meningkat hampir 90 peratus manakala pada musim perayaan jualan meningkat dua kali ganda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelasnya, antara produk perniagaannya adalah daging salai sabut kelapa RM21/200 gram, pes lado api RM10/200 gram dan dodol org lama RM22/500 gram manakala, bagi caterer dan peniaga, ada jualan borong.
Menurut Nurul Amirah, produk keluarannya boleh didapati di laman sosial di TikTok, Shopee dan datang ke kedai kerana masih kekurangan kemudahan untuk menambah pengeluaran.
“Bagi daging salai sahaja lebih kurang 2,000 pek sebulan tidak termasuk datang terus ke kedai dan tempahan khas restoran atau majlis,” katanya yang kini mempunyai empat orang pekerja.
Mengulas lanjut, daging salai yang dijual dilakukan secara tradisional dengan menggunakan sabut kelapa bagi mengekalkan aroma lebih wangi.
“Selain itu, pes lado api pula menggunakan bahan asas resepi mengikut sukatan orang tua pada zaman dahulu bagi memasak gulai cili api. Jualan anggaran 70 kilogram manakala, pembuatan dodol orang dahulu dibuat daripada pulut kisar dan tidak menggunakan tepung pulut paket,” katanya.
Nurul Amirah turut menggalakkan usahawan lain agar mendapatkan pensijilan halal bagi mendapat kepercayaan pembeli.
“Dari segi bahan dan proses pembuatan. Kami juga mendapat manfaat dengan mudah untuk mendapat rujukan dan bimbingan dari pihak Jakim sendiri,” katanya. – UTUSAN