PETALING JAYA: Iconic Penang Sdn. Bhd. (IPSB) telah melancarkan pembukaan awal Iconic Marjorie Hotel yang menjadi sebahagian daripada jenama unggul Marriott International.
Pengerusi Iconic Worldwide Berhad dan Iconic Group, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, pembukaan Iconic Marjorie Hotel adalah pencapaian besar bagi Iconic Group.
“Kami bekerjasama dengan Marriott International untuk menampilkan hotel yang mampu mengangkat status Pulau Pinang sebagai destinasi bertaraf dunia bagi pelancong dan pelabur.
“Hotel ini bukan sekadar destinasi mewah, tetapi meraikan warisan Pulau Pinang yang kaya dan komitmen kami dalam kecemerlangan hartanah dan hospitaliti.
“Kami berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhan pesat bandar yang luar biasa ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong kami dalam perjalanan ini, termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.
Dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM180 juta, Iconic Marjorie Hotel merupakan projek hotel kedua oleh Iconic Group, pemaju hartanah terkemuka yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Hotel pertama Iconic Group, Iconic Hotel dengan 195 bilik di Seberang Perai, Pulau Pinang, dibuka pada 2016.
Sementara itu, Naib Presiden Pasaran Malaysia, Marriott International, George Varughese berkata, dengan reka bentuknya yang tersendiri, diinspirasikan oleh budaya dan warisan tempatan, Iconic Marjorie Hotel merangkumi semangat Tribute Portfolio dengan sempurna-satu perayaan individualiti dan hubungan.
“la mewakili visi kami untuk menggabungkan kepakaran global dengan keaslian tempatan bagi mewujudkan destinasi yang bergema mendalam dengan pelancong.
“Hotel ini adalah contoh cemerlang komitmen kami untuk menetapkan penanda aras baharu dalam hospitaliti sambil merangkul semangat bertenaga komuniti yang kami banggakan untuk menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Iconic Group telah mencipta pengalaman seni bina dan falsafah reka bentuk yang unik yang mengangkat budaya Baba-Nyonya Pulau Pinang dengan ekerjasama rapat dengan Hirsch Bedner Associates (HBA), perintis dan pencetus reka bentuk hospitaliti.
Iconic Marjorie turut menyajikan pelancong dalam keindahan pulau yang menawan dan semangat pelbagai budaya, menggabungkan keanggunan abadi dengan gaya kontemporari. – UTUSAN