KENAIKAN gaji semestinya menjadi satu berita yang menggembirakan buat pekerja sama ada dalam sektor awam, mahu pun swasta kerana boleh menjadi peluang untuk membantu menampung komitmen sedia ada.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, ada sesuatu yang kurang diberi perhatian iaitu setiap kenaikan datang bersama tanggungjawab yang lebih besar.
Gaji yang bertambah bermakna kepercayaan terhadap kemampuan kita juga meningkat. Secara tidak langsung, komitmen juga akan ikut bertambah.
Pekerja swasta, Mohamad Ikram Hafizi Khirun Nizam berkata, kenaikan gaji merupakan satu usaha baik daripada kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang meningkat, terutama bagi belia di bandar-bandar utama.
“Bagaimanapun, jika ditanya sama ada ingin menambah komitmen sedia ada, bukanlah tidak mahu tetapi nak bertahan dengan ekonomi sekarang pun dah cukup berat.
“Perkara ini (kenaikan gaji) terasa macam bayangan saja, sebab secara tidak langsung hutang dan kos barang terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, kenaikan gaji yang diberikan banyak tertumpu untuk menampung keperluan semasa, namun dengan keadaan kos sara hidup menjadikan usaha menyimpan atau memiliki rumah semakin sukar, terutama bagi golongan muda yang baru memulakan kerjaya.
Bagi pekerja swasta, Nazihah Hamzah, dia hanya menerima kenaikan gaji tidak sampai dua peratus, namun harga barang dan perkhidmatan terus meningkat.
“Tahun ini, saya hanya menerima kenaikan gaji kurang dari dua peratus. Walaupun sedikit, saya tetap bersyukur daripada tidak ada langsung.
“Namun, dengan harga barang yang terus naik, jurang antara pendapatan dan kos sara hidup semakin terasa lebar.
“Harga perkhidmatan yang naik lebih banyak berbanding kenaikan gaji, serta peningkatan kadar faedah pinjaman juga turut menambah beban kewangan sedia ada.
“Ini menunjukkan bahawa kenaikan gaji tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tidak terkawal,” katanya.
Ujarnya, semakin meningkat kadar pendapatan, kos sara hidup akan semakin meningkat, sekali gus menambah tekanan kepada golongan pekerja.
“Keadaan ini memerlukan perhatian serius pelbagai pihak, terutama kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin di tengah-tengah cabaran ekonomi yang semakin mencabar,” ujarnya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Hairul Talib turut meluahkan kekesalannya terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat meskipun kenaikan gaji diumumkan tahun ini.
“Ya betul, apa yang saya lihat memandangkan saya juga selalu membeli keperluan barang rumah dan merupakan ketua keluarga merasakan harga barang semakin meningkat selepas kenaikan gaji.
“Jadi, kos sara hidup meningkat ini sebenarnya memberikan bebanan, terutamanya barang makanan. Setiap bulan kami hanya membeli barang yang perlu sahaja.
“Pada kebiasaan pula, saya akan borong barangan kering seperti air tin, coklat, dan biskut di musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina kerana harganya separuh lebih rendah berbanding biasa,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, perkhidmatan kesihatan, khususnya insurans kesihatan, naik mendadak secara tidak langsung menunjukkan kenaikan harga yang ketara.
Apabila ditanya sama ada kenaikan gaji mencukupi untuk menampung kos hidup, beliau mengakui ia masih tidak mencukupi.
“Masih tidak cukup. Gaji naik, harga barang pun naik. Komitmen semestinya semakin bertambah,” ujarnya. – UTUSAN