PETALING JAYA: Fabima Enterprise yang mengeluarkan kuih atau ‘cookies’ di bawah jenama Embun Cookies menyasarkan untuk mengembangkan lagi pemasaran produk ke pasaran pasar raya setelah menerima pensijilan halal kelak.
Pemiliknya, Faridah Maunda, 53, berkata, dia kini dalam proses untuk berpindah ke premis baharu di milik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) untuk di sewa atas namanya sendiri bagi memudahkan lagi proses untuk mendapatkan pensijilan tersebut.
Katanya, dia juga mengikuti program di bawah sebuah bank tempatan untuk bimbingan bagi proses mendapatkan pensijilan halal tersebut yang dijangka boleh dicapai dalam separuh pertama tahun ini.
“Berdasarkan penilaian melalui program daripada bank tersebut, perniagaan saya sudah pun mencapai 75 peratus ketika ini.
“Saya juga akan memperuntukkan kira-kira RM4,000 untuk tujuan renovasi premis baharu supaya menepati piawaian yang ditentukan bagi membolehkan kami mendapat pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Faridah berkata, Chocolate Chips Cookies dan Red Velvet Cookies buatannya kini sudah pun berada di beberapa stesen minyak di sekitar Lembah Klang.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, dia berhasrat untuk pasaran kuih buatannya ke pasaran pasar raya kerana mereka menitikberatkan pensijilan halal untuk memasukan pasaran tersebut.
“Saya mampu menghasilkan kira-kira 200 paket untuk sebulan. Sebenarnya dari segi kapasiti pengeluaran tidak menjadi masalah tetapi saya harus memikirkan dari segi pemasaran.
“Jika kami berjaya memasuki pasaran pasar raya kelak, kami mampu untuk menghasilkan sehingga 1,000 paket dalam masa sebulan,” ujarnya.
Tambahnya, selain ‘cookies’ tersebut, dia yang mempunyai seorang pekerja bagi membantu perniagaannya itu juga membuat kulit tart untuk kedai bakeri serta roti dan muffin yang dihantar ke kantin dan kedai makan. – UTUSAN