DASAR kerajaan secara tidak langsung akan memberikan impak kepada pertumbuhan pasaran dan industri di dalam negara.
Tahun ini akan menyaksikan beberapa pembaharuan seperti pengenalan cukai gula, rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijangka pada separuh kedua tahun ini dan juga pelarasan gaji baharu penjawat awam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr. Ishak Ismail berkata, dasar kerajaan dilihat akan memacu sektor hartanah yang akan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Katanya, antaranya adalah dasar kerajaan yang menyasarkan peningkatan pendapatan rakyat terutamanya pelaksanaan gaji minimum kepada RM1,700 pada tahun ini dan aliran pelaburan asing yang tinggi.
Selain itu, pembangunan infrastruktur jalan raya, lebuh raya dan pengangkutan awam seperti projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga akan mendorong kepada pertumbuhan sektor hartanah terutamanya yang berada berhampiran dengan laluan dan perkhidmatan tersebut.
“Sektor hartanah negara dijangka akan tumbuh dengan positif secara berterusan tetapi agak berhati-hati.
“Projek yang berhampiran di jajaran pengangkutan awam mempunyai prospek pertumbuhan yang baik.
“Terdapat juga unjuran bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menurunkan Kadar Dasar Semalam (OPR) yang juga boleh mendorong kepada permintaan hartanah dalam kalangan pembeli,” katanya.
Mengulas mengenai kesan cukai gula dan rasionalisasi subsidi RON95, beliau berkata, perkara tersebut tidak akan memberikan kesan kesan yang ketara.
“Cukai kepada gula akan menggalakkan cara hidup yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Saya yakin pengurangan penggunaan gula adalah baik dalam jangka panjang.
“Rasionalisasi harga minyak RON95 terkesan kepada 20 peratus pengguna sahaja. Sebanyak 80 peratus lagi tetap menikmati harga yang diberikan subsidi. Tiada kesan ketara kepada peningkatan kos bahan binaan kerana pengangkutan menggunakan diesel,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengenalan subsidi bersasar RON95 pada pertengahan tahun ini dijangka akan memberikan kesan kepada kuasa guna rakyat Malaysia.
Katanya, mungkin ramai yang akan lebih berhati-hati dan menangguhkan dahulu keputusan membeli hartanah sehingalah kesan gandaan kadar inflasi dari RON95 diserap sepenuhnya oleh ekonomi domestik.
“Bagi kakitangan kerajaan yang menikmati pelarasan gaji baru-baru ini berkemungkinan pula akan memberikan impetus yang positif kepada industri hartanah ini dengan kuasa beli mereka telah naik lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata, industri hartanah negara pada 2024 terus mencatatkan prestasi yang positif kerana disokong oleh permintaan yang rancak dan pelancaran projek-projek baharu.
Katanya, menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2024, bagi separuh pertama tahun 2024, transaksi menokok lapan peratus dan 23.8 peratus kepada 198,906 bernilai RM105.65 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2023.
“Data-data tahun 2024 yang positif meletakkan industri ini aakan terus berkembang pesat pada tahun 2025.
“Antara pendorong utama adalah kestabilan kadar faedah yang dikekalkan oleh BNM dan kecairan tunai yang mencukupi untuk bank-bank memberikan pembiayaan kewangan kepada pembeli.
“Selain dari itu, projek-projek infrastruktur mega yang sedang berlangsung seperti ECRL dan Lebuhraya Trans Borneo memberikan impak gandaan ekonomi kepada industri hartanah dengan pembukaan kawasan pembinaan baharu selain dari menjadi pemangkin kepada ekonomi domestik negara,” ujarnya. – UTUSAN