KUALA LUMPUR: Ar Reizen Tour Services Sdn. Bhd. (Ar Reizen), menyasarkan menembusi pasaran Benua Asia dan Eropah sebagai langkah strategik globalisasi dan memperkukuh kedudukan dalam industri pelancongan dengan pada tahun ini.
Pengarah dan Operasi Eksekutif Ar Reizen, Nur Fatin Adlina Mohd Talha berkata, fokus terbaharu syarikat adalah memperkenalkan pakej pelancongan ke benua Asia dan seterusnya ke pasaran Eropah, selari dengan matlamat untuk menjadi antara penyedia perkhidmatan pelancongan terkemuka di peringkat global.
“Langkah ini menandakan transformasi strategik bagi Ar Reizen, yang sebelum ini telah membuktikan keupayaannya di pasaran domestik dan Indonesia.
“Keputusan ini juga dibuat berdasarkan analisis mendalam terhadap permintaan pasaran dan peluang pertumbuhan di Benua Asia dan Eropah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Jelasnya, benua Eropah juga bukan sahaja terkenal dengan sejarah dan budaya yang kaya, tetapi juga menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, termasuk seni bina klasik, landskap indah, dan suasana urban moden.
“Kami percaya destinasi seperti Balkan, Qatar, England, Perancis, Jerman, Belgium, Switzerland, Itali, Turki dan Belanda dapat menarik perhatian pelancong Malaysia yang semakin mencari pengalaman baharu.
“Ar Reizen juga turut bakal mengambil bahagian dalam Travel Fair 2025 yang bakal berlangsung pada tahun ini,” katanya.
Mengakui cabaran besar untuk bersaing di pasaran antarabangsa, Nur Fatin berkata, persaingan sengit daripada penyedia pelancongan tempatan di Eropah memerlukan strategi yang kukuh.
“Kami berusaha untuk membezakan diri melalui pendekatan peribadi. Setiap pelanggan kami di Asia dan Eropah akan mendapat sokongan penuh daripada rakan kongsi tempatan dan pasukan operasi kami yang cekap.
“Visi kami adalah untuk membawa nama Ar Reizen ke peringkat dunia dan percaya bahawa usaha ini tidak mustahil dengan pasukan yang inovatif dan komited, serta sokongan daripada pelanggan setia kami.
Beliau berkata, Ar Reizen juga komited untuk menawarkan pakej pelancongan yang fleksibel dan memenuhi keperluan pelbagai segmen pelanggan, terutamanya pakej Umrah.
“Kami juga tidak melupakan segmen ekonomi dengan memperkenalkan pakej yang lebih mesra bajet, khusus untuk kumpulan besar seperti pelajar sekolah, institusi korporat, dan persatuan.
“Syarikat akan memastikan setiap pakej dapat memenuhi keperluan pelanggan tanpa mengkompromikan kualiti. Dari penginapan hingga logistik, semuanya diuruskan dengan teliti.
“Jadi, kami sangat mengalu-alukan semua pihak yang berminat untuk menjelajah Eropah dan Asia bersama Ar Reizen. Kami juga akan berada di Umrah & Muslim Travel Fair (UMTF) anjuran Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), akan berlangsung dari *21 hingga 23 Februari 2025 di Grand Barakah Hotel, Ampang.
“Untuk maklumat lanjut, boleh lawati kami di laman web rasmi Ar Reizen Tour Services Sdn Bhd,” katanya. – UTUSAN