TAHUN baharu membawa semangat baharu kepada semua orang, terutamanya yang ingin membeli rumah untuk menambah aset sebagai pelaburan masa jangka panjang.
Bagaimanapun, menjadi persoalannya, kenapa ramai susah buat keputusan untuk membeli hartanah?
Hal ini kerana ramai orang masih tidak mempunyai ‘masterplan’ yang sebenar atau mengetahui perkara penting yang perlu ada dalam perancangan untuk membeli rumah.
Oleh itu, minggu ini pakar hartanah, Ahyat Ishak berkongsi pandangannya bersama Utusan Malaysia bagi menjelaskan enam perkara penting yang perlu ada dalam perancangan beli rumah pada 2025.
1. Kita perlu sedar diri
Sebelum mengambil keputusan besar seperti membeli rumah, kita perlu tahu kedudukan diri sendiri, terutamanya dari segi kewangan.
Gunakan konsep IEAL (Income, Expenses, Assets, Liabilities) untuk menilai keadaan kewangan kita.
Selain itu, lakukan Analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang, Ancaman) untuk mengenal pasti apa yang penting dalam hidup. Ini akan membantu kita mengenali potensi diri dan membuat keputusan yang lebih bijak.
2. Tetapkan matlamat hidup
Ramai orang tidak jelas dengan matlamat hidup mereka dan apa yang ingin dicapai. Bayangkan kita memanjat tangga kejayaan, tetapi apabila sampai di atas, baru sedar tangga itu bersandar pada dinding yang salah.
Orang berjaya tahu dengan jelas apa definisi kejayaan bagi mereka dan matlamat yang ingin dicapai.
3. Rancang kewangan dengan bijak
Membeli hartanah adalah keputusan kewangan yang besar. Jika kewangan tidak terurus, membeli rumah hanya akan memburukkan lagi masalah tersebut.
Contohnya, jika ada hutang yang belum diselesaikan, membeli rumah mungkin akan melipatgandakan tekanan kewangan. Oleh itu, pastikan kewangan stabil dahulu sebelum membuat keputusan.
4. Perancangan untuk keluarga
Perancangan keluarga perlu dimasukkan dalam rancangan hidup. Faktor seperti perkahwinan, anak-anak, dan tanggungjawab kepada ibu bapa mesti dipertimbangkan.
Keluarga akan memberi impak besar kepada keputusan pembelian rumah. Ramai orang mengabaikan perancangan ini, menyebabkan mereka sukar membuat keputusan yang tepat.
5. Tingkatkan pertumbuhan kewangan
Untuk membeli rumah, kita mesti memikirkan cara meningkatkan pendapatan.
Fokus pada langkah-langkah yang boleh kita ubah, seperti meningkatkan kemahiran atau mencari peluang pendapatan tambahan, sama ada melalui kerja baru atau memulakan perniagaan.
Pendapatan kita sekarang mungkin tidak mencukupi, tetapi ia boleh bertambah dengan usaha dan perancangan.
6. Masukkan hartanah dalam rancangan hidup
Apabila semua aspek di atas telah dipertimbangkan, barulah kita boleh fokus pada perincian hartanah iaitu lokasi, jenis dan harga.
Pastikan hartanah yang dipilih sesuai dengan matlamat hidup kita dan dapat membantu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. – UTUSAN